AM > BERITA

Sijil Palsu: KPT Buat Laporan Polis, Pastikan Tindakan Tegas Dikenakan

01/08/2024 12:55 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan segera membuat laporan polis berkaitan dakwaan penjualan sijil akademik dari peringkat sekolah hingga pengajian tinggi seperti dilaporkan akhbar tempatan semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah ini mencerminkan keseriusan KPT yang tidak berkompromi dalam memastikan tindakan tegas dikenakan kepada mana-mana institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) atau individu yang didapati terlibat.

“Saya ingin mengingatkan kepada IPTS dan IPTS agar tidak membenarkan kegiatan seumpama ini daripada terus berlaku kerana ia akan mengelirukan orang ramai dan merosakkan imej institusi universiti.

“KPT akan terus komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi tidak tercemar dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media melaporkan sindiket penjualan sijil akademik palsu secara dalam talian yang secara terang-terangan mempromosikan kegiatan mereka di media sosial pada harga antara RM1,500 dan RM4,000.

Kegiatan itu didakwa menyasarkan individu yang terdesak untuk memiliki kelayakan akademik bagi tujuan mencari pekerjaan.

Zambry berkata terdapat beberapa kes penipuan sijil akademik telah berjaya dirungkai sebelum ini melalui aduan awam melibatkan sindiket penipuan yang memperdaya mangsa menggunakan nama institusi pendidikan tinggi.

Katanya pemantauan dan kawal selia berterusan dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas IPTS selaras dengan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555) berkaitan pengeluaran sijil palsu.

Selain itu, katanya KPT mempunyai posedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk memastikan kesahihan sijil akademik bagi tujuan pengesahan oleh orang awam.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan helah sindiket penipuan dan penjualan sijil akademik berkenaan.

Orang ramai boleh menyemak kelayakan dan maklumat berkenaan penerima Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran di portal GREaT KPT melalui pautan https://dohe.mohe.gov.my/award/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan