AM > BERITA

PETRA terajui Jawatankuasa Kerja Bahan Cemar Baharu.

01/08/2024 09:08 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) akan menerajui Jawatankuasa Kerja Bahan Cemar Baharu.

Perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Air Sungai Kebangsaan (JKKAS) hari ini, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof.

PETRA dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan jawatankuasa itu akan membangunkan polisi serta mengukuhkan tadbir urus berkaitan bahan cemar baharu dalam sumber air di Malaysia dan melibatkan agensi di peringkat Persekutuan serta badan-badan kawal selia air negeri.

Di samping itu NAHRIM akan menjadi peneraju, pelaksana dan hub penyelidikan bahan cemar baharu dengan kerjasama semua pemegang taruh.

PETRA turut memaklumkan bahawa Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) juga merancang untuk menaik taraf loji rawatan kumbahan (LRK) awam yang tidak menepati reka bentuk seperti dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 dan LRK awam yang terletak di kawasan sensitif alam sekitar.

PETRA berkata tindakan itu berupaya mengurangkan beban pencemaran sungai akibat dari pelepasan efluen.

Selain itu JKKAS juga bersetuju dengan strategi-strategi pengawalan kualiti air sungai, merangkumi aspek perundangan, tadbir urus dan aplikasi teknologi melalui tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Turut hadir dalam mesyuarat JKKAS ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam selaku Timbalan Pengerusi JKKAS Nik Nazmi Nik Ahmad, menteri besar, exco berkaitan air serta badan kawal selia air negeri.

JKKAS berperanan penting dalam memastikan langkah-langkah dan tindakan pengurusan pelaksanaan strategi bagi meningkatkan kualiti air sungai diambil secara bersepadu.

Ia juga bertindak sebagai platform perkongsian maklumat dan amalan terbaik dengan usaha-usaha yang boleh meningkatkan kualiti air sungai. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan