AM > BERITA

Stesen Pengecas EV Tangkak Bakal Jadi Hab Pengecasan Kenderaan Berat Dan Logistik

12/01/2025 01:33 AM

TANGKAK, 11 Jan (Bernama) – Stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Tangkak, yang terletak di Lebuhraya Utara-Selatan, dijangka dapat memenuhi keperluan kenderaan komersial berat dan logistik.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata stesen berkenaan merupakan kerjasama antara Majlis Daerah Tangkak dengan pembekal perkhidmatan pengecas kenderaan elektrik selaras usaha kerajaan untuk menyediakan 10,000 stesen pengecas EV tahun ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata stesen itu masih dalam proses permohonan bagi mendapatkan lesen awam daripada Suruhanjaya Tenaga dan sedang menunggu kelulusan ujian serta pensijilan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Dengan kedudukannya berhampiran Plaza Tol Tangkak, hab ini mampu menarik pengguna lebuh raya untuk singgah sekali gus membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Stesen ini bukan sahaja untuk kenderaan ringan tetapi turut menyokong pengecasan kenderaan berat dan logistik,” katanya kepada Bernama ketika sesi jelajah PETRA Skuad Zon Selatan di Hab Pengecas Pantas ChargEV di Pitstop @Tangkak di sini hari ini. 

Beliau berkata pihaknya akan memastikan semua stesen EV membuat permohonan agar mereka dapat diberikan sijil selamat oleh pihak Suruhanjaya Tenaga.

“Apabila kembali ke kementerian, kita akan mempercepat proses ini supaya dapat membolehkan stesen pengecasan EV di Tangkak ini beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat ChargeEV Huzaimi Noh Omar berkata stesen berkenaan mampu memuatkan lapan kenderaan dengan anggaran masa untuk mengecas selama 30 minit. 

“Berdasarkan ruang petak (parkir) kita boleh isi lapan kenderaan ringan ataupun empat kenderaan berat secara serentak.

“Sistem EV di sini dibantu oleh sistem pengurusan tenaga bateri yang memberi peluang untuk menyediakan pengecasan bagi kenderaan berkuasa tinggi,” katanya dan menambah stesen itu dijangka dibuka sepenuhnya bulan depan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan