AM > BERITA

Perhilitan Kelantan Tangkap Gajah Liar Di Jeli

02/08/2024 11:42 AM

KOTA BHARU, 2 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah liar jantan di Kampung Sungai Long, Jeli, pada Selasa lepas.

Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata operasi tangkapan melibatkan tujuh anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan yang telah menjalankan pemantauan di kampung itu.

Beliau berkata Perhilitan telah menerima aduan penduduk pada 30 Julai lepas mengenai gangguan haiwan liar berkenaan.

“Kejayaan operasi tangkapan gajah liar ini diharap akan mengurangkan kebimbangan penduduk dan kerugian berterusan yang dialami akibat kemusnahan tanaman dan kerosakan harta benda kesan daripada konflik gajah liar berkenaan.

“Perhilitan akan melaksanakan operasi pemindahan dan pelepasan semula haiwan berkenaan ke habitat yang lebih sesuai dan selamat dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid berkata operasi pemindahan akan melibatkan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dengan dibantu oleh kakitangan Perhilitan Kelantan.

“Perhilitan ingin menjelaskan bahawa tindakan itu adalah bagi mengurangkan konflik hidupan liar yang berlaku di kawasan ini dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun, agar mengambil langkah-langkah mitigasi termasuk memasang lampu LED Biru di jejak yang dikenal pasti sebagai  laluan masuk Gajah liar ke kebun.

“Oleh itu, penduduk diminta sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak samun serta membina Sistem Pagar Elektrik Gajah di sekeliling kawasan kebun,” katanya.

Beliau berkata Perhilitan juga ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar yang menganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan itu, berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Basor yang dianggarkan mempunyai populasi gajah lebih daripada 50 ekor.

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkankepada Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan