AM > BERITA

Transformasi Meter Pintar Ubah Gaya Pengurusan Tenaga Negara

03/08/2024 12:13 PM

Oleh Shanika Abdullatib

MELAKA, 3 Ogos (Bernama) -- Seiring dengan perubahan zaman, landskap penggunaan dan pengendalian tenaga elektrik di Malaysia menyaksikan tranformasi, terutama selepas negara mencapai kemerdekaaan pada 31 Ogos 1957.

Sejajar dengan penekanan kemajuan dan progresif untuk rakyat berbilang kaum yang menjadi salah satu teras dalam Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, yang merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024, pelaksanaan projek pemasangan meter pintar dilihat sebagai satu tranformasi terbesar dalam sejarah pengurusan tenaga negara.

Naib Presiden Kanan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) Dr Raslan Ahmad berkata antara impak pemasangan meter pintar yang dilaksanakan sejak 2020 itu, pengguna kini sudah mampu mengurus dan memantau penggunaan elektrik dengan lebih berhemah, melalui peralihan dan perkembangan projek meter pintar negara menerusi aplikasi tekonologi hijau.

“Penggunaan meter pintar di negara ini semakin berkembang dan dianggarkan 2.3 juta meter pintar dipasang di seluruh negara dan ia memberi faedah sangat besar terutama dalam pengurusan belanjawan tenaga isi rumah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pemasangan meter pintar di Melaka merekodkan hampir 380,000 unit selain di Selangor (1.8 juta unit), Kuala Lumpur (1.3 juta unit) dan Pulau Pinang (380,000 unit).

“Kejayaan penggunaan di Amerika Syarikat, Sweden, China dan Itali perlahan-lahan mengubah arus pemodenan dan secara tidak langsung masyarakat di Malaysia semakin menerimanya.

“Bagi meluaskan lagi manfaat meter pintar ini kepada pengguna di Semenanjung Malaysia, dianggarkan 9.1 juta isi rumah akan berpindah kepada meter pintar menjelang 2026 dan bagi konteks Melaka pula, lebih banyak penggunaan sumber tenaga alternatif akan digunakan dan menjimatkan penggunaan tenaga secara keseluruhan,” katanya. 

Raslan berkata meter pintar merupakan satu peranti yang merekodkan penggunaan elektrik dan menyampaikan maklumat tersebut secara automatik kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), melalui gelombang frekuensi radio untuk pemantauan dan pengebilan. 

Beliau berkata lebih menarik lagi Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan dan meluaskan penggunaan teknologi meter pintar ini di seluruh negara sebaris dengan Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan China.

Raslan berkata tranformasi itu juga melibat aspek bil penggunaan dan pengguna tidak perlu lagi menunggu bil dihantar ke peti mel, memandangkan meter pintar akan merekodkan penggunaan elektrik semasa dan menghantar bacaan meter secara automatik melalui rangkaian yang selamat. 

Beliau berkata di dalam komponen meter pintar, terdapat peranti pemeteran yang bertindak mengukur jumlah tenaga elektrik digunakan, modul komunikasi (menghantar dan menerima data dari utiliti dan ke utiliti), penyimpanan data (menyimpan data penggunaan untuk analisis dan pengebilan) dan unit paparan (data masa nyata kepada pengguna). 

“Lebih memudahkan apabila pengguna boleh mengakses bil eletrik mereka di aplikasi MyTNB atau portal MyTNB, dan semua perubahan ini akan membawa kepada penggunaan elektrik yang lebih baik dan mesra alam serta pembangunan digitalisasi sistem pemantauan tenaga negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan