ISKANDAR PUTERI, 21 Dis (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia dengan agregat 6-1 setelah menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 4-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini, hari ini.
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu mencatat gol pembukaan pada minit ke-35 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Arif Aiman Mohd Hanapi selepas Nabil Hakim Bokhari menjatuhkannya.
Skuad Harimau Selatan menggandakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama selepas penyerang Bergson da Silva tangkas menyambar hantaran Oscar Arribas dari sebelah kanan padang sebelum menjaringkan gol bagi kedudukan 2-0.
Babak kedua pula menyaksikan KL City FC sekali lagi dihukum penalti selepas S. Sharvin menjatuhkan Arribas di dalam kotak penalti dan gol ketiga JDT itu disempurnakan oleh Bergson pada minit ke-56.
Harimau Selatan terus menambah derita pasukan Miroslav Kuljanac apabila rembatan luar kotak Juan Muniz Gallego merobek gawang pada minit ke-62.
Penyerang KL City FC, Suhaimi Abu, yang tidak dikawal hampir mencatat jaringan pada minit ke-82, namun tandukannya di dalam kotak penalti tersasar dari gawang.
Percubaan dalam kotak penalti oleh Heberty Fernandes De Andrade tujuh minit kemudian turut tersasar daripada gawang untuk menjaringkan gol kelima buat JDT.
Keputusan kekal 4-0 sehingga tiupan wisel penamat.
Di KUALA NERUS, Terengganu FC (TFC) menepati sasaran apabila melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-2 pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Penyu, yang juga finalis musim lalu mara dengan agregat 6-2 selepas menang 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 14 Disember lalu.
TFC bakal bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama di laman sendiri pada 17 Jan sebelum perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 1 Feb depan.
Pada babak pertama, NSFC yang dibimbing K. Nanthakumar mencipta kejutan apabila mendahului pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti Muhammad Hadin Azman pada minit ke-24.
Kesilapan tersebut berpunca daripada tindakan pemain pertahanan TFC, Muhammad Alif Zakaria yang menjatuhkan tonggak tengah import NSFC Jacque Faye di dalam kotak penalti.
Berselang 10 minit, NSFC menggandakan jaringan menerusi A. Selvan yang bijak menyudahkan hantaran Hein Htet Aung.
Walaupun ketinggalan 0-2, TFC tidak patah semangat dan bangkit melancarkan serangan. Tekanan demi tekanan akhirnya membuahkan hasil apabila hantaran lintang Muhammad Akhyar Abdul Rashid dari sebelah kanan berjaya ditolak masuk oleh Ismaheel Akinade pada minit ke-41.
Skuad Penyu hampir menambah jaringan pada minit ke-46 menerusi rembatan kencang Muhammad Azam Azmi Murad, namun percubaan tersebut berjaya ditepis penjaga gol yahmi Adib Haikal Mohd Shukri yang beraksi cemerlang.
Namun, kelegaan NSFC tidak bertahan lama apabila Safawi Rasid meledak gol kedua TFC pada masa kecederaan separuh masa pertama, sekali gus menyamakan kedudukan 2-2.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. TFC sekali lagi menggegar gawang lawan menerusi jaringan Azam Azmi pada minit ke-81, menjadikan kedudukan 3-2.
Pada masa kecederaan, Shahrul Nizam Ros Hasni melengkapkan kemenangan bergaya TFC menerusi sepakan penalti selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan bola terkena tangan pemain gantian Ricardo Pires untuk keputusan kekal 4-2 sehingga tamat perlawanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial