AM > BERITA

Eksplorasi Merdeka Rapid KL 3.0 Lebih Meriah, Tarikan Lokasi Bersejarah Dan Mercu Tanda KL

03/08/2024 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Selepas kejayaan penganjuran Eksplorasi Merdeka pada tahun-tahun sebelumnya, Rapid KL tampil sekali lagi dengan Eksplorasi Merdeka Rapid KL 3.0 (EMRKL 3.0) yang menjanjikan pengalaman lebih menarik dan meriah kepada peserta.

Rapid KL menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan membawa peserta mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara, dengan diselitkan imbasan Rapid KL sejak awal pembukaannya yang menjadi tulang belakang utama dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial khususnya di Kuala Lumpur.

“Penganjuran acara tahunan ini lebih bermakna, kerana selain meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan, pada tahun ini juga kita turut meraikan ulang tahun Rapid KL yang ke-20,” menurut kenyataan itu.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan pelbagai evolusi telah dilaksanakan sepanjang dua dekad, dalam mentransformasikan pengangkutan awam di Kuala Lumpur.

EMRKL 3.0 yang akan diadakan pada 24 Ogos 2024 di Dataran Muzium Negara, bakal mengetengahkan aktiviti sukan dan budaya di sepanjang jajaran rel dan bas Rapid KL.

Peserta juga berpeluang meneroka sejarah dan mempelajari budaya melalui pameran, kuiz, dan aktiviti interaktif.

Menurut kenyataan Rapid KL, pada tahun ini Dataran Muzium Negara dipilih sebagai lokasi pelepasan peserta dan pemilihan lokasi ini bertujuan mempromosikan mercu tanda Kuala Lumpur kepada generasi muda, selain banyak lokasi bersejarah dan menarik di pusat bandar yang boleh diakses menerusi pengangkutan awam.

Hadiah berupa wang tunai bakal menanti pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dan peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bagi cabutan bertuah.

“Rapid KL menyarankan agar peserta yang berminat untuk segera mendaftar kerana tempat adalah terhad,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut dan borang pendaftaran boleh didapati di laman sesawang https://myrapid.com.my/emrkl3

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan