AM > BERITA

Ahli Silat Cekak Pusaka Hanafi Bersolidariti Bersama Palestin, Sokong Kenyataan Anwar

03/08/2024 02:39 PM

BUTTERWORTH, 3 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 1,000 peserta Himpunan Malaysia MADANI Jiwa Merdeka menyatakan sokongan kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.

Peserta terdiri penyelia kelas latihan, jurulatih, penolong jurulatih dan penggerak persatuan silat cekak seluruh negara itu turut menyokong kenyataan Anwar yang mengecam serangan berterusan rejim Israel ke atas Palestin serta bersolidariti bersama Palestin.

Himpunan anjuran Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Pusaka Hanafi) itu bersempena sambutan Hari Tenaga Pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi 1446H/2024 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth di sini hari ini

Silat Cekak Pusaka Hanafi dalam kenyataan memaklumkan sambutan hari tenaga pengajar berkenaan ialah program tahunan yang diadakan pada bulan Muharram setiap tahun bagi menghargai jasa dan sumbangan tenaga pengajar yang membantu mendaulatkan seni budaya bangsa itu.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Cawangan Pulau Pinang Jonathan Freddy P Bagang yang merasmikan himpunan itu merakamkan penghargaan kepada Silat Cekak Pusaka Hanafi yang banyak bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha memartabatkan seni silat.

“Silat Cekak Pusaka Hanafi berusaha memartabatkan seni silat sebagai warisan kebangsaan khususnya dalam memelihara keamanan dan kesejahteraan di dalam negara,” katanya yang hadir selaku wakil rasmi kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada program berkenaan, tenaga pengajar Silat Cekak Pusaka Hanafi menerima Sijil Pentauliahan Jurulatih daripada Pewaris Mutlak Silat Cekak Dr Md Radzi Hanafi sebagai tanda pengiktirafan kepada mereka yang diberi mandat menyampaikan ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi.

Agensi Anadolu melaporkan pemimpin Hamas itu terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran pada 31 Julai lepas. Beliau berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu iaitu Masoud Pezeshkian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan