Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Tidak Pernah Berpaling Daripada Perjuangkan Nasib Rakyat Palestin

25/08/2025 10:00 AM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia tidak pernah berpaling daripada memperjuangkan nasib rakyat Palestin meskipun dunia mendabik dada tentang hak asasi dan demokrasi memilih untuk berpaling, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan bahawa dalam setiap pertemuan antarabangsa sama ada di Tokyo, Jepun;  Beijing, China; New Delhi, India; mahupun Eropah, beliau tidak pernah lupa untuk membawa suara rakyat yang dizalimi di Gaza.

“Sejak puluhan tahun, tanah Palestin dirampas, rumah dihancurkan, sekolah dimusnahkan, bahkan masjid dan gereja pun tidak terlepas daripada kezaliman Zionis. Apa yang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar peperangan, tetapi penjajahan dalam bentuk paling zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Ini bukan perbuatan manusia, ini perbuatan haiwan! Segalanya dirampas, tanah, rumah, keluarga, nyawa,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus menggandakan sokongan dalam usaha memperjuangkan nasib penduduk di Gaza dan pembebasan Palestin.

“Malaysia bersama rakan antarabangsa terus menyalurkan bantuan, dari rawatan perubatan hingga peluang pendidikan dan malam tadi, Kerajaan MADANI mengumumkan tambahan dana RM100 juta untuk rakyat Palestin.

Ad Banner

“Kita tahu adakalanya perjuangan ini terasa melelahkan. Kadang kala terasa buntu dan tanpa harapan. Tetapi janji Allah jelas. Pertolongan-Nya itu dekat. Kita perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut dan gentar. Percayalah, kebenaran dan keadilan pasti akan menang,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berjaya menghimpunkan ribuan hadirin, telah memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia bangkit bersatu menolak kezaliman, menentang pembunuhan anak kecil dan wanita serta menuntut keadilan yang telah dinafikan sejak puluhan tahun, tatkala tatanan dunia gagal memberi jaminan hidup sebagai manusia buat rakyat Palestin.

“Ingatlah, suara yang bergema malam ini (semalam) bukan suara parti, bukan suara kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Jangan biarkan perpecahan melemahkan kita.

“Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian. Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan