AM > BERITA

Malaysia Terima Hampir 1.2 Juta Pelancong Dari China Setakat Mei

04/08/2024 11:16 AM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Malaysia menerima 1,185,050 pelancong dari China setakat Mei 2024 iaitu peningkatan 194 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata peningkatan itu disebabkan pelaksanaan pengecualian visa antara kedua-dua negara.

“Saya menggalakkan semua syarikat penerbangan merebut peluang ini dan memperluas  kesalinghubungan antara Malaysia dengan pelbagai negara untuk menyediakan lebih banyak kemudahan serta pilihan untuk pelancong di seluruh dunia selain mewujudkan situasi sama menang,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Tiong turut mengumumkan pelancaran penerbangan terus pertama AirAsia dari Ningbo, China ke Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sabah yang akan beroperasi tiga kali seminggu menggunakan pesawat Airbus A320, masing-masing dengan kapasiti 180 tempat duduk.

Beliau berkata penerbangan terus akan membantu menarik pelancong terutama dari Wilayah Zhejiang serta wilayah lain di China. 

Pada November lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari China dan India mulai 1 Dis tahun yang sama.

China juga bersetuju melanjutkan pengecualian visa untuk pelancong Malaysia daripada 15 kepada 30 hari sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada 31 Mei tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan