Ad Banner
 AM > BERITA

RMK-13 Perkukuh Kedudukan Melaka Sebagai Hab Pelancongan, Industri Halal Serantau

01/08/2025 09:59 PM

MELAKA, 1 Ogos (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bertemakan 'Melakar Semula Pembangunan Demi Mengangkat Martabat Rakyat' disifatkan sebagai pelan pembangunan lima tahun yang menyeluruh dan terangkum.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata RMK-13 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen semalam, dilihat memperkukuh transisi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menerusi pengukuhan fiskal, sumber pertumbuhan baharu serta reformasi struktur ekonomi.

“RMK-13 juga dilihat menjadi pemangkin utama Melaka memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelancongan terunggul, pusat industri halal serantau dan negeri yang lebih bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim serta keperluan infrastruktur masa depan.

"Inisiatif ini akan dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat Melaka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan Melaka telah mengemukakan permohonan sebanyak 258 projek berimpak tinggi bernilai RM7.15 bilion di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK13 bagi tahun 2026, merangkumi pembangunan infrastruktur moden, ekonomi digital dan industri strategik negeri.

Dalam masa sama, Ab Rauf menyambut baik tumpuan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ) yang turut melibatkan Melaka sebagai antara destinasi utama.

“STIZ akan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu berasaskan seni, budaya, warisan dan alam semula jadi, menjadikan Melaka lebih kompetitif di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, Melaka turut menerima manfaat menerusi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru yang mampu mengurangkan risiko bencana serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Dalam aspek industri halal, Ab Rauf menzahirkan komitmen penuh negeri itu menyokong aspirasi nasional untuk mencapai nilai eksport halal sebanyak RM80 bilion dan sumbangan 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Ia melalui pembangunan Halal Industrial Park di Melaka serta penubuhan Suruhanjaya Halal Malaysia yang dilihat akan memperkukuh lagi kedudukan negeri ini sebagai hab halal strategik," katanya.

Beliau berkata Melaka turut menyokong Pelan Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) bagi memastikan bekalan air mencukupi dan cekap seiring pembangunan perumahan serta permintaan industri yang semakin meningkat.

“Semua inisiatif di bawah RMK-13 akan dilaksanakan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, sektor swasta dan koperasi agar pembangunan inklusif dan berimpak tinggi dapat dicapai untuk rakyat Melaka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan