AM > BERITA

64 SBMJ Diluluskan Kutip Sumbangan Orang Ramai Dipaparkan Di Portal SSM

04/08/2024 12:22 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) --  Sebanyak 64 Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) telah memohon dan telah mendapat kelulusan menteri atau pendaftar untuk mengutip sumbangan daripada orang ramai, menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini.

SSM menjelaskan pihaknya mengambil inisiatif memaparkan senarai SBMJ itu di portal SSM.

“Inisiatif ini bertujuan memudahkan orang awam menyemak status terkini SBMJ yang berdaftar dan diberi kelulusan untuk melaksanakan kutipan sumbangan. Sebelum ini, hanya senarai SBMJ yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 dipaparkan di portal SSM,” menurut SSM menerusi kenyataan pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata SSM sentiasa berusaha meningkatkan ketelusan berkaitan proses kutipan sumbangan oleh SBMJ.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SSM untuk membantu orang awam membuat keputusan dengan mengetahui sumbangan mereka akan disalurkan kepada entiti yang mematuhi peruntukan undang-undang yang ditadbir SSM,” katanya.

SBMJ ialah syarikat awam yang diperbadankan mengikut Akta Syarikat 2016 tanpa modal saham dan beroperasi bukan untuk tujuan mendapatkan keuntungan.

SBMJ mesti menggunakan keuntungannya untuk mencapai atau mempromosikan objektifnya, tidak boleh membayar dividen kepada ahlinya dan dalam kes pembubaran, semua aset yang biasanya akan tersedia untuk ahli mesti dipindahkan kepada badan lain dengan objektif yang sama atau badan yang mempromosikan kebajikan.

Jika SBMJ mengumpul sumbangan tanpa kebenaran daripada menteri atau pendaftar, tindakan itu adalah satu kesalahan.

Sehingga 30 Jun, 2024, sebanyak 2,202 SBMJ berdaftar dengan SSM dengan status ‘existing’.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan