AM > BERITA

Lebih 1,000 Pengunjung Meriahkan Srikandi Carnival 2024

04/08/2024 03:07 PM

SERDANG, 3 Ogos (Bernama) -- Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan program Srikandi Carnival 2024 di sini hari ini, yang dianjurkan Persatuan Bekas Pelajar-pelajar Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru atau lebih dikenali Srikandi Tun Fatimah.

Presiden Srikandi Tun Fatimah Datin Zainon Sekor berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi peluang kepada semua ahlinya berniaga dan membina rangkaian dalam bidang keusahawanan.

“Dengan adanya karnival ini, kita menggalakkan ahli berniaga dan menimba ilmu selain berseronok dengan pelbagai aktiviti lain. Ia juga antara lain mengeratkan ukhuwah sesama ahli,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran program itu oleh Penasihat Diraja Srikandi Tun Fatimah Tunku Mariam Zaharah Sultan Iskandar hari ini.

Tunku Mariam Zaharah turut berkenan meluangkan masa kira-kira dua jam melawat reruai jualan di lokasi berkenaan.

Sementara itu, pemilik Pastribella Bakeshop Dr Ezani Farhana Md Monoto yang juga juara MasterChef Malaysia 2012 berkata karnival itu membuka lebih banyak peluang kepadanya untuk memperkenal dan mempromosikan perniagaannya kepada orang ramai.

“Sebelum ini, saya memang aktif menyertai pelbagai aktiviti dalam persatuan ini, cuma untuk jualan ini adalah yang pertama kali... ini juga tanda sokongan saya kepada Srikandi,” kata bekas pelajar Sekolah Tun Fatimah dari 1998 hingga 2002 itu.

Karnival sehari bermula 9 pagi hingga 5 petang itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pameran, karnival jualan makanan dan minuman, soopa doopa, menunggang kuda, seni pasir, lukisan seni pada muka dan permainan arked.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan