SHAH ALAM, 30 Julai (Bernama) -- Lepasan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditawar menyambung pengajian dalam bidang keusahawanan di Management and Science University (MSU) dengan pembiayaan penuh kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelaksanaan inisiatif terbaharu itu akan diselaras oleh Majlis TVET Negara manakala Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertindak menyediakan pembiayaan kepada pelajar terbabit.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk melahirkan usahawan TVET selain memenuhi aspirasi graduan bidang kemahiran berkenaan yang tidak berminat memasuki bidang pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Bagi tujuan itu, MSU akan mewujudkan satu modul khas kepada lepasan institusi TVET seluruh negara yang berhajat memasuki bidang keusahawanan untuk menyambung pelajaran contohnya, peringkat Diploma Eksekutif.
“Inisiatif ini akan dikoordinasi dengan Majlis TVET Negara serta KUSKOP dengan perincian lanjut akan diumumkan dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya pada sidang media di sini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang Pengerusi Majlis TVET Negara melancarkan TVET MSU di universiti itu yang turut dihadiri Presiden merangkap Pengasasnya, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid hari ini.
Ahmad Zahid juga meminta MSU meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan kepada 100 peratus pada 2028 berbanding lebih 95 peratus yang direkodkan ketika ini.
Beliau berkata bagi tujuan itu, MSU perlu menambah jumlah kursus yang ditawarkan kepada 200 menjelang 2030 daripada sasaran 100 sepertu ditetapkan oleh pengurusan universiti ketika ini.
“Yang pasti, ketika ini kebolehpasaran graduan MSU adalah lebih tinggi daripada 95.1 peratus kadar nasional… saya cabar MSU capai tahap 100 peratus pada 2028 untuk menjadi penanda aras kepada institusi TVET lain.
“Saya yakin MSU akan berada di barisan paling hadapan dalam bidang TVET untuk universiti swasta sekali gus meneruskan kecemerlangan sedia ada dengan keupayaan melahirkan ribuan teknousahawan dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan menyediakan anugerah atau penghargaan khas kepada mana-mana institusi TVET yang mencapai 100 peratus kebolehpasaran graduan sebagai galakan dalam meningkatkan standard bidang atau kursus ditawarkan susulan permohonan memasuki institusi itu meningkat hingga 229,000 setakat 12 Julai lepas berbanding 25,000 pada 2024.
“Kerajaan beri komitmen, mana-mana institusi TVET yang mencapai kebolehpasaran 100 peratus akan ada anugerah khas kepada institusi berkenaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial