AM > BERITA

Obesiti: CUEPACS Cadang Penjawat Awam Diwajibkan Pemeriksaan Kesihatan Secara Berkala

04/08/2024 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan penjawat awam diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, terutama individu yang menunjukkan tanda-tanda obesiti dan berusia 40 tahun ke atas.

Presiden CUEPACS Datuk Dr Adnan Mat dalam kenyataan hari ini turut mencadangkan supaya program kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Jabatan Belia dan Sukan (JBS), diadakan bagi mengawal dan memantau kumpulan penjawat awam yang mempunyai masalah obesiti.

Beliau berkata objektif khusus program itu adalah bagi mengenal pasti kumpulan penjawat awam berisiko dan faktor penyumbang kepada masalah yang mereka hadapi, kemudian disusuli dengan merangka dan melaksanakan program intervensi.

“Setiap program intervensi yang dilaksanakan perlu dinilai keberkesanannya supaya mencapai objektif yang ditetapkan.

“Hanya peserta yang menunjukkan penurunan positif sahaja boleh dibebaskan daripada program intervensi yang dilaksanakan, tetapi perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kembali bermasalah,” menurut kenyataan itu.

Adnan berkata program sama boleh dilaksanakan di sektor swasta, dalam memastikan golongan pekerja di Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dan majikan boleh berperanan membantu mengurangkan masalah obesiti di negara ini dengan lebih berkesan.

Beliau berkata masalah obesiti rakyat Malaysia perlu diambil perhatian lebih serius oleh semua pihak, kerana perkara itu tidak sepatutnya dinormalisasikan dan ia tidak hanya melibatkan penjawat awam. 

Adnan memetik laporan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 oleh KKM sebanyak 54.4 peratus rakyat dewasa Malaysia mengalami berat badan berlebihan, mencatat peningkatan tiga peratus berbanding 50.1 peratus pada 2019.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan