AM > BERITA

Budaya Baba Dan Nyonya Semakin Diiktiraf Masyarakat Antarabangsa - Pengerusi Bernama

04/08/2024 05:05 PM

MELAKA, 4 Ogos (Bernama) -- Budaya masyarakat Baba dan Nyonya di Melaka semakin diiktiraf komuniti antarabangsa khususnya pelancong dari China, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Beliau berkata keadaan itu boleh dilihat di Jonker Street apabila ramai pelancong China semakin gemar memakai baju kebaya Nyonya yang amat popular dalam kalangan masyararakat itu.

“Perkara ini membuktikan budaya Baba dan Nyonya bukan satu produk pelancongan semata-mata, justeru kita memohon agar kerajaan dapat mengiktiraf kumpulan ini sebagai subetnik juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Peranakan Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia Datuk Ronald Gan Yong Hoe dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Mohd Salahuddin Mohamed.

Wong, yang merupakan generasi keempat Baba dan Nyonya dari Pulau Pinang berkata beliau juga kagum dengan usaha berterusan persatuan itu bekerjsama dengan DBP untuk melaksanakan kajian terhadap bahasa unik masyarakat berkenaan.

Sementara itu, Gan berkata beliau berharap agar kerajaan dapat mengiktiraf masyarakat Baba dan Nyonya serta Chettiar di Melaka sebagai sebahagian daripada subetnik di Malaysia, sekali gus akan meningkatkan lagi semangat patriotik dalam kalangan generasi muda masyarakat berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan