AM > BERITA

Kerajaan Kaji Cadangan Bangunkan Media Sosial Khusus

04/08/2024 11:35 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti cadangan untuk mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia seperti yang sedang diusahakan oleh beberapa negara. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata hal ini kerana ada antara penyedia aplikasi media sosial didapati mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini, namun dalam masa yang sama gagal menjamin soal keselamatan penggunanya.

"Tahun lepas dianggarkan Facebook sahaja mengaut keuntungan US$600 juta dari Malaysia, tetapi apa yang mereka lakukan untuk memastikan keadaan dan penggunaan platform mereka di Malaysia ini selamat?

"Saya lihat mereka tidak ada kesungguhan, jadi kita perlu kaji dan perlu lihat, tidak mudah untuk membangunkan platform media sosial sendiri, tetapi ada beberapa negara telah cuba … kita akan teliti dulu," katanya ketika ditemui pemberita pada Himpunan Pembebasan Palestin di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau juga telah bertemu dengan pengacara dan selebriti popular Datuk Aznil Nawawi yang mengemukakan cadangan itu, susulan tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan hantaran berkaitan Palestin menerusi platform media sosial milik syarikat itu baru-baru ini.

Dalam pertemuan itu, katanya perbincangan lanjut telah dilakukan dan beliau sendiri turut menyampaikan beberapa pandangan untuk disebarkan kepada pengikut media sosial selebriti itu. 

"Saya telah mengingatkan bahawa kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak boleh menggunakan media sosial, jadi beliau setuju untuk menyampaikan pandangan ini kepada peminat-peminat beliau," katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata satu pertemuan akan diadakan bersama pihak Meta berhubung isu penurunan kandungan berkaitan Palestin daripada media sosial Perdana Menteri, di Putrajaya esok.

Beliau berkata pihaknya akan bertegas dalam pertemuan itu sekiranya sebarang kandungan berhubung Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini malam ini diturunkan oleh penyedia platform media sosial berkenaan. 

"Saya telah meminta pihak Meta untuk tidak kenakan apa-apa tindakan terhadap semua platform terutama yang akan menayangkan siaran program Himpunan Pembebasan Palestin pada malam ini.

"Mereka telah setuju, saya telah menyerahkan senarai selain daripada akaun Facebook milik Perdana Menteri juga akaun-akaun rasmi sejumlah media yang memintanya. 

"Kita akan lihat dulu sama ada apa-apa tindakan, tetapi saya percaya mereka akan kotakan janji, kalau tidak kita akan pastikan bila mereka datang esok kita akan bertegas," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan