AM > BERITA

Penyanyi Era 70-an Jay Jay Meninggal Dunia

05/08/2024 12:47 AM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Penyanyi popular era 70-an, Jay Jay meninggal dunia pada usia 67 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya pada 9.20 malam ini.

Khabar duka pemergian Jay Jaya atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus dimaklumkan rakan artis, Datuk Hattan ketika dihubungi Bernama.

“Ya, dia (Jay Jay) sudah meninggal dunia… saya dihubungi isteri arwah sebentar tadi… arwah akan dibawa ke Masjid Al-Husna, Bandar Sunway pagi esok untuk solat jenazah,” katanya ringkas kepada Bernama.

Turut berkongsi pemergian pelantun suara lagu Joget Angan Tak Sudah itu, pelakon veteran Datuk Fauziah Ahmad Daud di Facebooknya malam ini,

“Innalilahi wainnailahi roji'un. Dapat berita pulangnya biduan Jay Jay kepada Ya Khalid (Yang Maha Pencipta). Hilangnya seorang insan seni yang tiada pengganti.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah, diampunkan dosa-dosanya, diterima segala amal ibadahnya dan ditempatkan arwah bersama hamba-hambaNya yang beramal soleh. Takziah buat keluarga arwah,” katanya.

Pada 23 Mei lepas, Jay Jay selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dua hari dimasukkan ke pusat perubatan itu akibat serangan jantung ringan dan sesak nafas.

Jay Jay yang popular dengan lagu Rindu Bayangan itu pernah memenangi beberapa anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) 1988, Vokal Terbaik Lelaki Anugerah Industri Muzik1998 dan Juara Kategori Pop Rock pada Juara Lagu 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.

Untuk rekod, Jay Jay mula menyanyi bersama kumpulan Carefree pada 1979 dan muncul solo sejak 1984.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan