AM > BERITA

Menteri Luar Thailand Adakan Lawatan Rasmi Ke Malaysia Bermula Isnin

05/08/2024 01:56 AM

PUTRAJAYA, 4 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 5 hingga 6 Ogos, yang beliau akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan berkata kedua-dua menteri juga akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala ke-15 dan Mesyuarat Ke-6 Jawatankuasa Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand.

"Mereka dijangka membincangkan dan mengkaji kemajuan kerjasama dua hala, termasuk politik dan keselamatan, ekonomi, pelancongan, sosial dan budaya serta kesalinghubungan di sepanjang kawasan sempadan," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak juga dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama, tambahnya.

Maris juga dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa, menurut kenyataan itu.

Ini merupakan lawatan pertama Maris ke Malaysia sejak mengangkat sumpah sebagai Menteri Luar pada 1 Mei tahun ini.

Kementerian Luar Negeri menyatakan bahawa lawatan itu mencerminkan keadaan hubungan bilateral yang cemerlang antara Malaysia dan Thailand sebagai jiran rapat dan rakan kongsi dalam ASEAN.

"Ia juga menyediakan peluang terbaik bagi memajukan perkongsian untuk kemajuan dan mengukuhkan lagi ikatan persahabatan antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia secara global dan rakan dagang kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM24.83 bilion (US$113.16 bilion), menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan