AM > BERITA

JKR Perlis Sedia Pasukan Khas Tebang Pokok Berisiko

06/08/2024 02:14 PM

KANGAR, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis menyediakan pasukan khas untuk menebang pokok-pokok berisiko mengancam keselamatan pengguna jalan raya di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Aduan Awam, Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Izizam Ibrahim berkata JKR juga melantik kontraktor bagi menyelesaikan isu berkenaan dengan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) bagi membantu mempercepatkan kerja-kerja penebangan.

“Namun, kerja-kerja penebangan sukar untuk diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh masa singkat memandangkan terlalu banyak pokok berada di bahu jalan termasuk kawasan rezab jalan melibatkan peruntukan yang banyak,” katanya ketika menjawab soalan Fakhrul Anwar Ismail (PN-Bintong) dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Fakhrul Anwar ingin tahu usaha dan perancangan kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk  menangani kebimbangan rakyat terhadap masalah pokok tumbang di banyak lokasi di Perlis semasa kejadian ribut pada Jun dan Julai lepas.

Untuk rekod pada 23 Jun lepas, sepasang suami isteri cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Padang Benta, Simpang Empat dekat sini dalam kejadian kira-kira 3 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar Supt Baeyah Abdul Wahab berkata mangsa Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18, patah tulang paha kanan manakala isterinya Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18, mengalami pendarahan dalam kepala serta patah tulang pinggang kiri dan kanan serta bayi dalam kandungan berusia lima bulan meninggal dunia.

Sementara itu, Izizam berkata Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan mengedarkan surat Penyelenggaraan dan Pemantauan Pokok Ameniti Berisiko dalam kawasan seliaan kepada seluruh agensi bertanggungjawab di Perlis.

“Melalui surat ini, setiap agensi bertanggungjawab untuk menyelenggara, memantau dan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan seperti cantasan atau tebang pokok berisiko yang berada dalam kawasan seliaan jabatan masing-masing terutamanya pokok-pokok berada di sepanjang jalan raya.

“MPK juga memohon setiap agensi mengisi maklumat balas berkenaan tindakan sedang dan telah diambil terhadap pokok-pokok di bawah seliaan agensi terlibat seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Beliau berkata bagi pokok di bawah seliaan MPK, kerja-kerja penyelenggaraan berkala dijalankan terutamanya pokok berada dalam kawasan perumahan manakala notis penebangan atau penyelenggaraan pokok akan dikeluarkan bagi pokok persendirian yang ditanam oleh penduduk dengan kos ditanggung pemilik.

MPK juga dalam kajian untuk bekerjasama dengan agensi lain bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap pokok teduhan yang berisiko dan akan mengenakan caj minimum bagi pokok bukan di bawah seliaan MPK.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan