Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penglibatan Golongan Muda Dalam Sektor Pertanian Di Perlis Terlalu Rendah

01/07/2025 06:37 PM

KANGAR, 1 Julai (Bernama) -- Penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian di Perlis masih terlalu rendah sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian sektor itu pada masa depan, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata berdasarkan dapatan Banci Pertanian 2024, hanya 399 golongan muda berumur antara 15 hingga 30 tahun yang terlibat dalam bidang pertanian daripada jumlah keseluruhan 18,839 individu yang direkodkan menyertai sektor berkenaan di negeri ini.

"Ini satu realiti yang perlu kita terima. Memang jumlah golongan muda yang terlibat dalam pertanian sangat rendah berbanding mereka yang berusia. Tetapi sektor ini masih ada potensi besar jika kita dapat tarik lebih ramai anak muda dengan penggunaan teknologi seperti automasi dan dron,” katanya kepada pemberita selepas majlis peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Perlis di sini hari ini.

Peluncuran itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Perlis Razali Saad.

Mohd Uzir berkata data yang lebih terperinci daripada dapatan banci pertanian itu dilihat boleh membantu kerajaan negeri dan agensi berkaitan merangka dasar selain insentif bersesuaian dan program lebih bersasar dalam usaha mendepani cabaran menarik minat golongan muda terhadap sektor itu.

Beliau berkata teknologi pertanian seperti penggunaan dron, automasi dan sistem tanaman pintar perlu dipergiatkan bagi menjadikan sektor berkenaan lebih menarik kepada generasi muda.

Sementara itu, Razali berkata sektor pertanian di Perlis merekodkan nilai jualan sebanyak RM584.8 juta pada 2023 dengan subsektor tanaman menjadi penyumbang terbesar yang mencatatkan nilai jualan RM276.7 juta, diikuti subsektor perikanan (RM159.6 juta), ternakan (RM114.6 juta) dan akuakultur (RM6.6 juta).

“Daripada jumlah keluasan bertanam 58,500 hektar, sebanyak 95.6 peratus diusahakan oleh individu manakala selebihnya oleh pegangan pertanian pertubuhan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan