AM > BERITA

LZS Permudah Pemberian Bantuan Perubatan Asnaf Selangor Melalui Digitalisasi

06/08/2024 04:24 PM

SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini memeterai perjanjian kerjasama dengan MEDKAD Sdn Bhd menerusi inisiatif digital dalam memperkasakan pemberian bantuan perubatan sekali gus memudah dan mempercepatkan proses permohonan bantuan zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata inisiatif itu akan dilaksanakan menerusi Sistem Bantuan Perubatan Elektronik dikenali sebagai Al-Amal yang dibangunkan MEDKAD.

Beliau berkata penggunaan penuh Sistem Bantuan Perubatan Al-Amal untuk pengurusan permohonan bantuan perubatan asnaf di LZS dijangka dilaksanakan pada awal 2025 selepas pelaksanaan tempoh perintis di daerah Petaling yang akan bermula pada November tahun ini. 

“Menerusi Pelan Strategik LZS 2023 hingga 2025 di bawah teras strategi Go Digital, LZS menekankan pembangunan dan penggunaan platform digitalisasi bagi mempertingkatkan keupayaan dan kecekapan proses penyaluran bantuan agihan zakat khususnya bantuan perubatan.

“Al-Amal yang dibangunkan untuk LZS, diintegrasikan dengan sistem sedia ada iaitu LZS Electronic Zakat Online (eZO). Dengan Al-Amal, permohonan bantuan perubatan di LZS kini boleh dilakukan secara digital sekali gus mengurangkan kebergantungan pada borang fizikal dan pemprosesan manual,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Inisiatif Digital E-perubatan antara LZS dan MEDKAD.

Mohd Sabirin berkata buat masa ini, permohonan bantuan di LZS melibatkan 553 panel perubatan yang dilantik di seluruh Selangor dengan hampir 3,500 tuntutan diproses secara manual setiap bulan dan setakat 2023, LZS telah mengagihkan lebih RM51 juta untuk bantuan perubatan kepada 11,000 asnaf. 

“Usahasama LZS dengan MEDKAD ini adalah langkah penting menuju digitalisasi yang menyokong kelestarian melalui pengurangan penggunaan kertas dan bahan cetakan lain, memperbaiki pengurusan data dan melaksanakan automasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja serta risiko kesalahan.

“Inisiatif ini juga menyokong amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan selari dengan aspirasi kelestarian Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) 2030,” katanya. 

Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Mohd Sabirin dan Ketua Pegawai Eksekutif MEDKAD Ezuan Yaacob dan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perubatan LZS Tunku Datuk Dr Muzafar Shah Tunku Jaafar.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan