AM > BERITA

Menara SkyCity Bakal Jadi Tarikan Terbaharu i-City

06/08/2024 07:03 PM

SHAH ALAM, 6 Ogos (Bernama) -- Menara SkyCity di bandar digital i-City di sini bakal menjadi mercu tanda baharu serta tarikan tambahan kepada bandaraya Shah Alam dan sektor pelancongan di Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata menara setinggi 60 meter dengan gelongsor kaca sepanjang 600 meter yang dibangunkan dengan kos sekitar RM15 juta itu akan menambahkan lagi daya tarikan sedia ada i-City kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Berdasarkan data pelancongan terkini, i-City antara tarikan utama kepada pelawat kalau berkunjung ke Shah Alam dan saya harap pembinaan SkyCity akan menambahkan lagi kedatangan pelancong ke Selangor.

“i-City merupakan antara produk pelancongan dalam senarai Tahun Melawat Selangor 2025 dan saya yakin pembangunan SkyCity akan menjadi faktor tambahan bagi menarik lebih ramai pelancong ke bandar pintar ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah menara SkyCity di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi i-City Selangor Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Tengku Ahmad Shah dalam ucapannya berkata menara yang dihiasi lampu diod pemancar cahaya (LED) itu dijangka dibuka kepada orang ramai pada 11 Dis depan bagi menyambut Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata i-City bakal memainkan peranan penting untuk menarik kira-kira lima juta pengunjung tahun depan, sekali gus membantu Selangor melepasi sasaran tujuh juta pelancong bagi Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut Tengku Ahmad Shah, i-City akan melakukan promosi meluas bagi pengunjung dalam dan luar negara merasai sendiri pengalaman ‘berenang di langit dan terbang di air’.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan