AM > BERITA

527 produk perangsang seks, 11 peranti digital bernilai RM4.4 Juta dirampas di tiga negeri

06/08/2024 09:00 PM

GEORGE TOWN, 6 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 527 produk perangsang seks mengandungi racun berjadual dan tidak berdaftar bersama 11 peranti digital keseluruhan bernilai RM4.4 juta dirampas dalam Ops Legasi 2.0 dijalankan di Pulau Pinang, Kedah dan Johor, pada 30 Julai lepas.

Rampasan dilakukan menerusi 24 serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Kementerian Kesihatan (KKM) di tiga negeri itu adalah yang terbesar pada tahun ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM Mohd Zawawi Abdullah berkata pihaknya menjalankan risikan dan intipan sejak dua tahun lepas sebelum menjalankan serbuan membabitkan sebuah kilang dan gudang di Pulau Pinang serta stor, premis dan pejabat yang menjual produk terbabit di tiga negeri itu.

"Serbuan kami mendapati kilang di Pulau Pinang itu memproses sendiri produk ubat perangsang seks mengandungi racun berjadual dan tidak berdaftar sebelum ia dihantar ke gudang mereka dan diedarkan kepada pembekal di tiga negeri tersebut.

"Seterusnya pembekal akan membungkus ubat itu semula dengan pelbagai jenama sendiri dan menjualnya secara dalam talian di platform e-dagang dengan harga RM100 hingga RM200 setiap botol atau kotak ubat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin.

Menurut Mohd Zawawi, nilai rampasan di Pulau Pinang itu adalah yang terbesar iaitu bernilai RM3.9 juta, manakala di Kedah nilai produk dirampas ialah RM452,000 dan RM65,000 di Johor.

"Operasi di Pulau Pinang dijalankan terhadap 17 premis, di Kedah enam premis manakala di Johor satu premis diserbu. Kami merampas 527 ubat perangsang seks mengandungi racun berjadual, produk tidak berdaftar dan komestik tidak bernotifikasi serta 11 peranti yang keseluruhannya bernilai RM4.4 juta," katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, semua premis diserbu dan diambil tindakan itu merupakan rangkaian sindiket yang sama serta telah lama beroperasi dengan mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit.

Menurutnya, pihaknya telah merekodkan kenyataan sembilan individu termasuk pemilik kilang, pemilik gudang dan pekerja terdiri daripada individu berusia 20 hingga 50 tahun bagi membantu siasatan.

Mohd Zawawi berkata KKM memandang serius terhadap aduan orang awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar terutama penjualan secara dalam talian yang telah menjadi trend pada masa ini.

"Kami juga menghadapi sedikit cabaran ketika ini iaitu trend peralihan konvensional kepada dalam talian,  modus operasi mereka mudah berubah-ubah dan kadang kala penjual menggunakan identiti palsu bagi mengelak dikesan dan sebab itu kami membuat saringan iklan di semua platform bagi mengesan sama ada ia salah atau tidak sah," katanya.

Menurutnya sejak Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 15,000 iklan jualan pelbagai jenis ubat yang disaring telah diambil tindakan disekat kerana menyalahi peraturan ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan