AM > BERITA

KPM Komited Tambah Baik Akses Pendidikan Sekolah Di Kawasan Pesisir

07/08/2024 11:33 AM

ROMPIN, 7 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif dengan turun padang di sekolah-sekolah di kawasan pesisir bagi melihat sendiri akses pendidikan dan infrastruktur yang perlu ditambah baik.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen kementerian untuk memastikan semua murid dan guru menikmati kemudahan lebih baik, sekali gus meningkatkan akses pendidikan berkualiti serta tahap sistem pendidikan negara. 

“Kaedah lawatan sebegini merupakan suatu pendekatan terbaik untuk meninjau dan menilai secara langsung (first hand) isu yang dihadapi dan seterusnya boleh mencadangkan penyelesaian kepada pihak berkaitan. 

“Sebagai contoh, ketika tinjauan bersama pengurusan tertinggi kementerian di Pulau Tioman di sini, beberapa isu yang dibangkitkan telah diambil tindakan segera antaranya melibatkan pengangkutan dan tempat tinggal guru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Tindak Susul Parlimen di Pulau Tioman di sini, Isnin lepas yang turut dihadiri timbalannya Wong Kah Woh, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dan Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Abd Malek. 

Selain itu, Fadhlina berkata kementerian juga mengenal pasti isu berkaitan infrastruktur serta sistem sokongan kepada murid dan telah mengambil langkah segera untuk melaksanakan penyelesaian seperti meluluskan permohonan peruntukan bagi bot dan motosikal roda tiga.

Berhubung pembinaan kuarters di Kampung Mukut pula, katanya kementerian menyatakan komitmen untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada guru, namun beberapa perkara antaranya berkaitan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya.

Selain Rompin, dua lagi daerah di Pahang yang mempunyai sekolah pesisir ialah Kuantan dan Pekan. 

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM akan sentiasa berusaha menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua murid termasuk di kawasan pulau dan pantai, seiring dengan pendidikan manusiawi iaitu memastikan tiada siapa yang terpinggir.

"Di Pulau Tioman ini, saya dan pasukan Pendidikan Malaysia MADANI memberi fokus untuk memantau sendiri keadaan institusi pendidikan serta isu-isu yang berkait dengan kesejahteraan guru dan murid termasuk penyediaan infrastruktur fizikal, akses teknologi dan digital serta pendidikan awal kanak-kanak," katanya

Fadhlina juga meninjau infrastruktur Sekolah Kebangsaan Mukut serta Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek di sini selain beramah mesra dengan warga pendidik dan murid sekolah berkenaan. 

Dalam program yang berlangsung dua hari bermula Isnin, murid sekolah di pulau peranginan itu turut menerima sumbangan berbentuk keperluan pembelajaran dan bahan bacaan. 

Program Tindak Susul Parlimen di Pulau Tioman merupakan siri kedua dianjurkan KPM tahun ini selepas Selangor.

Program tersebut bertujuan membuat pemerhatian dan penilaian secara langsung berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen semasa persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan