AM > BERITA

Teknologi Kuantum: Cabaran Baharu Pertahanan Siber Negara

07/08/2024 05:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) -- Teknologi kuantum atau komputer kuantum yang dipercayai mampu melakukan penyulitan data (data encryption) kurang dari lima minit berbanding komputer biasa yang mengambil masa bertahun, bakal menjadi cabaran baharu sektor pertahanan siber negara.

Susulan teknologi perkomputeran kuantum yang dijangka matang dalam tempoh lima tahun serta jauh lebih berkuasa daripada komputer biasa itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu membuat persediaan bagi menghadapi potensi ancaman teknologi itu.

Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM Laksamana Muda Datuk Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata teknologi kuantum mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

“Kebaikannya ialah teknologi itu akan mempercepatkan proses pengkomputeran berlipat kali ganda, namun keburukannya teknologi yang sama juga boleh digunakan untuk memecahkan kod-kod data yang disulitkan (encrypted) seperti dalam aplikasi WhatApps hanya dalam beberapa minit.

“Tetapi dalam pertahanan negara ketika ini, kita menggunakan close network ataupun rangkaian yang terselamat untuk kita berkongsi maklumat pertahanan, keselamatan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata ATM bersedia untuk menerima kehadiran teknologi tersebut dan sedang melakukan persiapan untuk menangani sebarang ancaman sekiranya teknologi itu digunakan untuk perkara yang tidak baik.

Mohd Fadzli Kamal berkata untuk mempunyai kepakaran dalam teknologi kuantum ini, dana yang besar diperlukan selain sebuah organisasi yang mampan.

“Ia bukan tentang seorang individu yang boleh menggunakan teknologi kuantum. Boleh saya katakan pembangunan teknologi kuantum ini masih di peringkat sangat awal (infant). Namun, semua negara yang berkemampuan melihat ancaman kepada teknologi ini dan kita (Malaysia) perlu juga ambil langkah berjaga-jaga.

“Di Malaysia, saya dimaklumkan ada universiti sudah memulakan penyelidikan dan membangunkan fakulti teknologi kuantum selain ATM juga sedang memantapkan keupayaan siber,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga mengambil inisiatif untuk berkolaborasi di peringkat ASEAN dan  ASEAN Plus melibatkan China, Rusia, Amerika Syarikat dan Australia dalam soal keselamatan siber.

“Kita juga bekerjasama dengan pihak swasta kerana mereka ini akan bersaing dalam sektor perniagaan. Jadi dalam perniagaan ini pastinya mereka tidak ingin ketinggalan dalam pembangunan sesuatu teknologi terutamanya teknologi kuantum,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan TM Technology Services Sdn Bhd bagi meningkatkan keupayaan pertahanan dan kestabilan keselamatan dalam mendepani implikasi teknologi kuantum pada Majlis Perasmian Siber Siaga 2024.

Kontrak yang bernilai RM34.562 juta itu merangkumi penyediaan infrastruktur rangkaian dengan dilengkapi kemudahan Pusat Operasi Keselamatan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari yang menyaksikan majlis MoU itu berkata usaha berkenaan penting untuk memperkasakan infrastruktur keselamatan siber negara, menggalakkan amalan terbaik dalam kalangan individu dan organisasi serta memperkukuh daya tahan siber negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Mohd Yani Daud, Timbalan Panglima Tentera Darat Left Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Pemangku Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Timbalan Panglima Tentera Udara Left Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan