AM > BERITA

Konvoi KMJG 2024 Singgah Di Kuala Kangsar

07/08/2024 09:43 PM

KUALA KANGSAR, 7 Ogos (Bernama) -- Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 yang tiba di sini disambut meriah di pekarangan Dewan Jubli Perak di sini.

Ketibaan peserta konvoi yang disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan itu disambut Pegawai Daerah Kuala Kangsar Muhammad Nazri Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Dr Sakduddin Zamli.

Konvoi yang berlepas dari Pulau Pinang itu telah singgah di daerah Kerian serta Larut Matang dan Selama semalam sebelum meneruskan perjalanan hari ini ke Kuala Kangsar dan Perak Tengah, seterusnya ke Kampar serta Muallim esok yang melibatkan jarak sejauh 700 kilometer.

Muhammad Nazri dalam ucapannya berkata semangat patriotik dan cintakan negara perlu sentiasa disematkan dalam diri masing-masing dan bukan hanya dizahirkan pada setiap kali menjelang bulan kemerdekaan.

Beliau berkata dengan kekuatan semangat berkenaan, ia secara tidak langsung akan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Saya harap golongan belia khususnya dapat menghargai segala pengorbanan generasi terdahulu untuk memastikan negara ini mencapai kemerdekaan,” katanya.

KMJG 2024 di Perak disertai 12 kenderaan terdiri daripada kenderaan pacuan empat roda dan motosikal daripada Suzuki V-Strom Owners Club dengan penglibatan Jabatan Penerangan Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan