AM > BERITA

JPJ Laksana Penggantian Kamera AwAS Selari Perubahan Teknologi

08/08/2024 12:52 PM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan penggantian kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) melibatkan kamera sedia ada secara berfasa di lokasi yang telah diwartakan, kata Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli.

Dalam kenyataan hari ini, Aedy Fadly memaklumkan penggantian kamera AwAS berkenaan adalah selaras dengan penambahbaikan sistem kamera AwAS sedia ada selari dengan perubahan teknologi terkini yang menggunakan teknologi Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi memastikan kamera itu beroperasi dengan lebih baik.

"Penggantian ini melibatkan kamera model Redflex yang perlu ditukar atas faktor kerosakan besar dan tidak mendapat sokongan daripada pihak prinsipal," kata JPJ.

Beliau berkata pengoperasian kamera AwAS juga untuk memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selaras usaha mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Justeru, JPJ menyeru dan memohon kerjasama semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan bertoleransi dengan pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya.

"Jabatan ini juga sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, seterusnya berada pada tahap yang terbaik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan