AM > BERITA

Delegasi CIRDAP Kagum Dengan Keunikan Budaya Malaysia

08/08/2024 01:24 PM

JASIN, 8 Ogos (Bernama) -- Para delegasi ke mesyuarat antarabangsa di Melaka kagum dengan keupayaan Malaysia dalam mengekalkan identiti budaya dan keunikan, walaupun sebagai sebuah negara moden dan membangun.

Wakil dari Fiji, Kaselia Adivatulili berkata melalui program lawatan bersama ahli-ahli Pusat Pembangunan Luar Bandar Bersepadu Asia dan Pasifik (CIRDAP) ke Kampung Merlimau, di sini, ia memberi pengalaman bermakna kepadanya melihat tempat yang kaya dengan warisan dan sejarah

Beliau berkata ciri-ciri keunikan dan keindahan itu juga dapat dilihat melalui seni bina rumah tradisional Melayu dimiliki oleh Rumah Penghulu Demang Abdul Ghani, selain makanan dan aktiviti masyarakat yang memperlihatkan kekayaan budaya tempatan.

"Di sini, kita dapat menyaksikan keupayaan penduduk mengekalkan budaya tertentu dalam sebuah negara moden, dan keupayaan ini hanya dapat dilihat di beberapa tempat sahaja.

"Kami sangat berbesar hati dapat bertemu dengan masyarakat tempatan, wanita dan lelaki, selain menikmati pelbagai persembahan tradisional yang dipertontonkan kepada kami," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wakil dari Sri Lanka Dr. Goigoda Gamage Bandula berkata pengalamannya di negara ini sejak tiba Sabtu lalu amat memuaskan dan beliau gembira dengan layanan mesra yang diterimanya.

Katanya selain berpeluang berkongsi maklumat dan kepakaran dengan delegasi lain semasa Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal CIRDAP ke-39, beliau juga teruja menyelami budaya masyarakat di negara ini.

"Ini telah membuka mata kami semua sebagai delegasi untuk menyaksikan budaya lain dari latar belakang kaum yang berbeza dan unik," katanya.

Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negerin Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata lawatan delegasi CIRDAP bukan sahaja mempromosikan pelancongan, tetapi juga produk tradisional dan kraftangan tempatan.

Menurutnya lawatan ini akan memberikan peluang kepada produk-produk tersebut untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan negara-negara yang terlibat.

Lawatan ke lapangan tersebut disertai oleh 24 delegasi dari Mesyuarat CIRDAP ke-39 yang mewakili Bangladesh, Fiji, India, Indonesia, Iran, Laos, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, dan beberapa pemerhati.

Sesi lawatan itu turut diserikan dengan demonstrasi pembuatan Kuih Bakar Melaka, kraftangan, anyaman tampin, iaitu bekas untuk menyimpan dodol dan demonstrasi melipat tanjak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan