AM > BERITA

Rakyat Negeri Sembilan Diminta Terus Kibar Jalur Gemilang, Semarakkan Bulan Kebangsaan

08/08/2024 03:20 PM

SEREMBAN, 8 Ogos (Bernama) -- Rakyat di Negeri Sembilan diminta untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah, kenderaan atau premis masing-masing bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bersempena tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, beliau berkata pengibaran bendera kebanggaan negara itu perlu dilihat sebagai cerminan jati diri selain menghargai pengorbanan pejuang terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu ada rasa tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang tanpa diarahkan atau dipaksa mana-mana pihak. Kibar bendera ini sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa tunggu Bulan Kebangsaan, tapi bila dah masuk Ogos, pastinya ia perlu diperhebatkan.

“Selain itu, inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang harus dijayakan sebagai taat setia kepada negara selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semangat ini harus digelorakan menuju sambutan peringkat negeri di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, 31 Ogos nanti,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata orang ramai juga diminta untuk menggantikan Jalur Gemilang lusuh, koyak dan tidak sempurna kepada yang baharu selain meletakkannya di tempat sepatutnya kerana ia gambaran sebagai warganegara bertanggungjawab.

Aminuddin berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diminta untuk terus memantau mana-mana Jalur Gemilang didapati lusuh dan koyak dikibarkan di tempat tinggi dan segera menggantikannya dengan yang baharu.

Aktiviti memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang juga boleh diadakan secara gotong-royong bersama keluarga dan penduduk, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat setempat berinteraksi selain mengukuhkan kebersamaan, tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa pengisian turut dirancang di negeri ini sepanjang Bulan Kebangsaan termasuk Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka) yang diterajui Jabatan Penerangan negeri, JIWA Komuniti MADANI, Konvoi Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.

“Saya berharap orang ramai mengambil bahagian dalam program dianjurkan. Tunjukkan sokongan kita dengan menyertai program kenegaraan yang dianjurkan di seluruh negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan