AM > BERITA

Dun N.Sembilan Lulus Enam RUU Termasuk Belanjawan 2025

28/11/2024 06:48 PM

SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri Sembilan hari ini meluluskan Belanjawan Negeri 2025 bertemakan ‘Bersama Membina Negeri MADANI’ dan lima rang undang-undang (RUU) lain.

RUU Perbekalan 2025 yang diluluskan itu melibatkan belanjawan berimbang dengan anggaran hasil RM590 juta dan belanja mengurus RM590 juta bagi meneruskan kelangsungan serta agenda pembangunan negeri berkenaan telah dibahaskan selama empat hari bermula 25 Nov lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata belanjawan berimbang kali ini memberi tumpuan kepada sembilan bidang utama meliputi 66 inisiatif yang diyakini mampu menyeimbangkan antara keperluan sara hidup dan pengukuhan ekonomi supaya terus berdaya tahan.

Turut diluluskan RUU meminda Enakmen  Anggota  Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (Saraan) 1980, RUU meminda undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, RUU meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, RUU Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2024 serta RUU meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Semasa membentangkan RUU meminda Enakmen  Anggota  Pentadbiran dan ADUN (Saraan) 1980, Aminuddin berkata ia bertujuan menyelaraskan semula gaji sedia ada memandangkan kedudukan gaji ADUN tersenarai sebagai gaji terendah berbanding wakil rakyat di negeri lain.

Semasa sesi perbahasan RUU itu, Hanifah Abu Baker (PN-Labu) memohon kerajaan negeri mengkaji semula perkara tersebut dengan mengambil kira kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Aminuddin kemudian menjelaskan bahawa kajian tentang sistem saraan itu telah dibincangkan dan diperhalusi sebaiknya tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

“Permintaan itu berlaku bukan sahaja pada kali ini, ia pernah diutarakan sebelum sidang dewan dibubarkan lagi, kita buat kajian tetapi pada masa itu ia tidak sesuai dilaksanakan mengambil kira keadaan pemulihan ekonomi selepas COVID-19 dan apabila cukup tempoh 10 tahun (kerajaan negeri memerintah), barulah kita berani meluluskan dalam bajet kali ini.

“Kita menunjukkan prestasi sangat baik, ada negeri yang defisit banyak tetapi mereka mampu melakukannya, apatah lagi kita dalam belanjawan berimbang kali ini mempunyai RM70 juta tambahan pada tahun depan, sebab itu kita berani lakukan,” katanya.

Bagi RUU meminda undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, beliau berkata majlis mesyuarat kerajaan negeri yang bersidang pada 7 Ogos lepas bersetuju dengan cadangan pewujudan jawatan baharu iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Kanan).

Persidangan DUN ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan