AM > BERITA

SK Taman Agropolitan Gua Musang Dijangka Siap Januari 2025 - Ahmad

08/08/2024 06:03 PM

GUA MUSANG, 8 Ogos (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Agropolitan, Rantau Manis, di sini yang sedang dalam pembinaan dijangka siap Januari tahun depan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata projek yang bermula pada 27 Julai 2022 itu, kini 40 peratus siap dan sedang dalam fasa pemasangan struktur Sistem Binaan Industri (IBS) untuk bangunan utama sekolah.

"Saya amat berharap apabila sekolah dibuka rancangannya pada Mac 2025, mudah-mudahan sekolah ini boleh digunakan terus. Tahun baharu bermula dengan sekolah baharu," katanya semasa meninjau projek itu hari ini.

Ahmad berkata projek milik Kementerian Pendidikan bernilai RM26.56 juta itu dibangunkan di atas kawasan seluas 7.285 hektar dengan tapak projek untuk pembinaan sekolah seluas 3.9 hektar.

Antara skop projek ialah membina sebuah blok utama mengandungi 18 bilik darjah, serta blok tambahan seperti prasekolah, kantin, pondok pengawal, rumah sampah, pentas, tiang bendera, bangsal basikal, tempat letak kereta, laluan berbumbung dan wakaf menunggu bas. 

Menurut Ahmad, projek yang mampu menampung 400 hingga 720 pelajar itu turut merangkumi kemudahan sukan seperti gelanggang bola jaring, bola tampar dan badminton.

Beliau berkata projek itu merupakan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan kualiti pendidikan rakyat melalui penyediaan kemudahan pembelajaran yang kondusif dan selesa kepada murid sekitar Rantau Manis. 

"Sekolah baharu ini akan membantu pelajar yang sebelum ini terpaksa melalui perjalanan jauh ke SK Jeram Tekoh atau SK Renok Baru pada awal pagi.

"Baru-baru ini saya melawat Jeram Tekoh dan semasa bersarapan nampak bas dua tingkat penuh dengan pelajar. Selepas ini masalah itu tidak akan ada lagi," katanya.

Justeru, katanya Kementerian Kerja Raya mahu momentum pembinaan projek itu dapat dikekalkan dan siap mengikut jadual dengan menepati kualiti serta kos ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan