AM > BERITA

Kejayaan jadi finalis Pingat Pendidikan Asia 2024 hasil usaha sama pihak berkepentingan - Shahnaz

08/08/2024 08:14 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Pengerusi LeapEd Services Sdn Bhd Shahnaz Al-Sadat menyifatkan kejayaan pihaknya menjadi antara finalis bagi Pingat Pendidikan Asia 2024 sebagai bukti kerjasama erat bersama pihak berkepentingan yang ingin melihat perubahan dalam sistem pendidikan negara.

Mengakui terkejut tersenarai sebagai finalis, beliau mendedikasikan kejayaan itu kepada rakan strategiknya yang sentiasa menyokong termasuk Teach for Malaysia, LeapEd dan Sekolah Anak Malaysia.

"Ini tahun yang pertama sebenarnya, saya pun terkejut juga tetapi saya rasa bangga kerana ini kerja kita secara kolektif. Ini adalah satu penghargaan terhadap pekerjaan kita bersama-sama dan saya rasa kita boleh maju lagi ke hadapan, insya-Allah.

"Pada masa sama, saya rasa platform tersebut dapat membuka peluang untuk kita berkolaborasi dengan lebih baik buat kontinjen kita di Asia, menggunakan kepakaran masing-masing dalam mendepani cabaran," katanya kepada Bernama.

Berpengalaman 30 tahun dalam bidang pendidikan, Shahnaz turut melaksanakan pelbagai inisiatif bersama Kementerian Pendidikan bagi menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar di negara ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata antara penekanan yang diberikan oleh pihaknya kepada pelajar dalam menempuh cabaran masa hadapan ialah adaptasi terhadap dunia digital.

"Walaupun kita menghadapi cabaran yang asas dari segi membaca, mengira dan menulis tetapi cabaran yang amat menakutkan adalah menyediakan anak-anak kita supaya bersedia untuk masa hadapan dan buat masa ini, cabaran itu adalah sesuatu yang susah untuk ditentukan.

"Penekanan kami adalah bagaimana anak-anak ini bila keluar bekerja nanti, tahu macam mana nak hidup, bergerak, berhubung… Manteranya ialah semakin digital kehidupan anda maka anda perlu lebihkan sifat perikemanusiaan," katanya.

LeapEd Services Sdn Bhd yang diterajui Shahnaz adalah perusahaan sosial yang memfokus kepada program transformasi pendidikan selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pemenang Pingat Pendidikan Asia 2024 dijangka diumumkan Oktober ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi ciapan di X semalam, mengucapkan tahniah kepada Shahnaz yang tercalon sebagai 10 finalis bagi Pingat Pendidikan Asia 2024.

“Moga pencapaian ini membakar semangat saudari dan juga warga pendidik lain agar terus memartabat serta memajukan lagi sistem pendidikan di Malaysia,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan