AM > BERITA

Hab Pendidikan AI Pulau Pinang Sasar 3,000 Peserta

09/08/2024 01:34 PM

GEORGE TOWN, 9 Ogos (Bernama) --  Hab Pendidikan Kecerdasan Buatan (AI) Pulau Pinang mampu mempersiapkan bakat negara dalam memacu pembangunan teknologi AI sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab AI terbaik di rantau ini. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata sehubungan itu, kementerian menyasarkan seramai 3,000 peserta akan terlibat dengan hab pendidikan AI itu menjelang 2025.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab MOSTI untuk menyokong perubahan dalam memanfaatkan kuasa transformasi AI dengan memastikan penawaran kepakaran dalam bidang AI yang mencukupi seiring dengan peningkatan permintaan di pasaran kerja.

"Dengan kemajuan teknologi yang pesat adalah penting untuk kita mempersiapkan generasi muda kita dengan pengetahuan dan kemahiran diperlukan. Justeru, hab pendidikan itu memiliki peranan penting yakni sebagai pemangkin kepada perkembangan bakat tempatan.

"Melalui kemudahan yang disediakan di hab ini termasuk Artificial Intelligence Trainer, kit pembelajaran seperti CocoPi, Quarky dan EDU PICO AI Kit serta peralatan AI seperti Intel Geti AI, saya yakin kita dapat memberikan pendidikan dan latihan berkualiti tinggi kepada pelajar serta pendidik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hab Pendidikan AI Pulau Pinang di Tech Dome Penang, Komtar di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo.

Chang berkata penubuhan hab itu selaras dengan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi penekanan kepada pembinaan bakat yang memanfaatkan kepesatan pembangunan teknologi AI seterusnya memacu perkembangan ekonomi negara.

Beliau berkata revolusi teknologi AI dijangka mengubah corak perniagaan, pentadbiran kerajaan dan juga pembangunan masyarakat. 

Justeru, Chang berharap model hab pendidikan AI di Pulau Pinang itu dapat dikembangkan di negeri-negeri lain di Malaysia.

Hab Pendidikan AI Pulau Pinang hasil kerjasama antara MOSTI dan kerajaan negeri Pulau Pinang serta disokong oleh 13 organisasi ternama yang membentuk Konsortium Pendidikan Kecerdasan Buatan dengan Intel memainkan peranan sebagai Penasihat Teknikal untuk bagi hab berkenaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan