AM > BERITA

MOSTI Komited Budayakan STEM Menerusi Malaysia Techlympics

09/08/2024 03:16 PM

KUANTAN, 9 Ogos (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited memupuk minat dan membudayakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kehidupan rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan murid, pelajar serta belia menerusi program Malaysia Techlympics.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata program tersebut selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang menekankan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara bersepadu, konsisten dan inklusif. 

Beliau berkata program yang bermula sejak Julai lepas dan berterusan hingga November depan itu dilaksanakan di seluruh negara melalui penganjuran secara fizikal dan dalam talian bagi meningkatkan penyertaan dan capaian oleh masyarakat setempat.

“Matlamat dan objektif utama penganjuran Malaysia Techlympics adalah pembudayaan STI kepada kumpulan sasar melalui pendekatan hands-on dan tidak formal serta melalui kaedah pembelajaran pengalama dan pertandingan melibatkan pelajar, belia di semua peringkat umur, jantina dan bangsa.

“Melihat kepada kepentingan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada negara, program Malaysia Techlympics turut menekankan tentang aspek teknologi terkini seperti AI, pengekodan, pengkomputeran, dron  sebagai wadah dan pendedahan awal bagi pelajar serta belia dalam teknologi pesat ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Pantai Timur di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini semalam. 

Mohammad Yusof berkata pendedahan pelajar kepada teknologi terkini menerusi program Malaysia Techlympics adalah sejajar dengan misi melonjakkan negara dalam rantaian nilai inovasi global.

“Kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh melalui program-program ini boleh digunakan sebagai asas dalam pembangunan bakat sekali gus menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara demi mencapai hasrat Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya.

Malaysia Techlympics 2024 yang merupakan inisiatif MOSTI, memasuki tahun ketiga pelaksanaannya setelah dilancarkan pada 2022 dengan pelbagai pertandingan berteraskan teknologi seperti AI, Internet kebendaan (IoT), dron, pengekodan dan robotik dipertandingkan di peringkat negeri dan zon.

Penganjuran Malaysia Techlympics 2024 peringkat Zon Timur merupakan pelaksanaan zon pertama sebelum diteruskan di peringkat zon utara, tengah, selatan, Sabah dan Sarawak.

Hampir 1,000 peserta dari tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan bersaing di Peringkat Zon Timur di UMPSA pada 7 dan 8 Ogos bagi melayakkan diri  ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada November ini di Putrajaya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan