AM > BERITA

Pembinaan Jambatan Batang Rajang Di Kapit Di Peringkat Perancangan 

09/08/2024 04:58 PM

SARIKEI, 9 Ogos (Bernama) -- Pembinaan jambatan merentasi sungai Batang Rajang yang akan menghubungkan bandar Kapit dengan kawasan di seberang sungai kini di peringkat perancangan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Perbincangan mengenai perkara itu telah dibuat dengan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan mungkin projek berkenaan bakal dibiayai kerajaan Persekutuan.

“Konsep itu sudah diterima. Kini dalam peringkat perancangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pakej 01: Cadangan Membina dan Menyiapkan Jalan Pasi ke Jalan Sibu/ Tanjung Manis termasuk projek Jambatan Batang Rajang di sini hari ini.

Pada Mei lepas, Nanta ketika merasmikan jalan alternatif baharu yang menghubungkan Sibu dengan Kapit di Nanga Kabah, Kanowit, berkata cadangan jambatan merentasi berkenaan akan menjadi sebahagian laluan alternatif.

Beliau berkata jalan baharu itu akan menyediakan akses pengangkutan darat kepada penduduk di sepanjang Batang Rajang yang terjejas selepas operasi bot ekspres dihentikan berikutan Jalan Sibu-Kapit yang sedia ada siap sepenuhnya pada Okt 2021.

Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Negeri berkata projek Jalan Pasi ke Jalan Sibu/Tanjung Manis termasuk jambatan Batang Rajang itu menelan belanja lebih RM321 juta dan dijangka siap Mac tahun depan.

Apabila siap kelak, jalan berkenaan dapat mengurangkan masa perjalanan antara Sarikei dan Tanjung Manis daripada dua jam kepada 45 minit. 

“Jalan baharu ini juga akan menggalakkan pembukaan lebih banyak tanah untuk merangsang aktiviti ekonomi dan pelancongan baharu untuk penduduk di kawasan ini dan sekitar Sarikei,” katanya.

Terdahulu, Uggah melawat projek pembinaan jalan yang menghubungkan Sibu Jaya ke Jalan Kong Yit Kim di Sibu sepanjang 6.75 kilometer yang menelan belanja RM104.4 juta dan dijangka siap pada Nov 2024 iaitu sebulan lebih awal daripada jadual.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan