AM > BERITA

PRK Nenggiri: Penduduk Bersyukur Pengaktifan Perkhidmatan Mesin ATM Disegerakan

10/08/2024 10:52 PM

GUA MUSANG, 10 Ogos (Bernama) -- Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menarik nafas lega dan bersyukur selepas penantian berpuluh tahun untuk mendapatkan perkhidmatan mesin juruwang automatik (ATM) akhirnya mendapat perhatian.

Ia susulan kenyataan Kementerian Kewangan hari ini bahawa pengaktifan perkhidmatan ATM di kawasan itu akan dipercepat bagi memenuhi keperluan penduduk.

Bagi peneroka Abdul Ghani Awang, 78, pemasangan ATM di kawasan itu amat wajar kerana selama ini untuk mengeluarkan wang tunai, penduduk di Nenggeri terpaksa bergantung harap kepada mesin yang hanya terdapat di pusat bandar. 

"Kita orang kampung sangat setuju dan gembira apabila kemudahan asas seperti ATM ini ada dekat dengan rumah, tidak perlu pergi jauh-jauh lagi.

"Selain itu, ada orang kampung yang tinggal jauh di pedalaman kena lalu jalan berbukit semata-mata nak pergi ambil duit dekat ATM, jadi banyak risiko boleh berlaku sepanjang perjalanan itu," katanya kepada Bernama di Kampung Sungai Asap B di sini hari ini.

DUN Nenggiri, yang bermula kira-kira 20 kilometer dari bandar Gua Musang, berkeluasan 235,300 hektar atau hampir dua kali ganda keluasan Melaka dan mempunyai lebih 20,000 penduduk.

Isnin lepas, sebuah media tempatan melaporkan bahawa penduduk di DUN itu, yang kini menjadi tumpuan kerana pilihan raya kecil (PRK), terpaksa memandu hampir 45 minit untuk mengakses ATM terdekat.

Rintihan penduduk Nenggiri turut mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berjanji menyelesaikan masalah itu dengan menghubungi pihak berkaitan sebelum Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan hari ini.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Aisar Aniq Suhaimi, 21, yang bekerja sebagai buruh, pula berkata apabila ATM diwujudkan di kawasan berdekatan, ia secara tidak langsung dapat menjimatkan tenaga dan kos seperti minyak kenderaan.

"Seminggu sekali saya akan keluar ambil duit dengan jumlah yang banyak sebab tidak mahu ulang-alik dari rumah ke mesin ATM di bandar Gua Musang. Saya bersyukur dan berterima kasih sekiranya hasrat kami direalisasikan," katanya.

Mohd Azmawi Fikri ketika ditemui pemberita berkata respons yang diberikan oleh pihak berkaitan dilihat sebagai memahami kehendak dan keperluan penduduk di Nenggiri.

"Terima kasih kepada pihak yang respons dengan kehendak penduduk di Nenggiri kerana ia adalah keperluan.

"Rata-Rata mereka memerlukan wang tunai untuk melakukan kegiatan harian, saya akan pastikan keinginan rakyat ini tercapai," katanya. 

Hari pengundian PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan pada 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi Fikri mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan