Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PSBM Santuni Veteran ATM, PDRM Sempena Ulang Tahun Kelima

17/05/2026 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) hari ini menyampaikan sumbangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang pernah berkhidmat dalam operasi keselamatan negara.

Presiden PSBM Datuk Seri Ramle Mat Daly berkata sambutan ulang tahun kelima pertubuhan itu menjadi platform untuk menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang tercedera ketika menjalankan tugas, termasuk dalam operasi membanteras komunis suatu ketika dahulu.

“Keamanan sejagat yang kita kecapi sekarang ini adalah hasil daripada perjuangan mereka yang tidak mengenal erti titik peluh sehingga mencapai ketitisan darah yang terakhir demi mempertahankan keamanan negara.

Ad Banner
Ad Banner

“Justeru, pada hari ini kita menghargai jasa mereka. PSBM tidak pernah melupakan pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya kepada Bernama pada sambutan ulang tahun PSBM di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Faizal Iqram Ibeni Yanin dan turut dihadiri Pengarah Majlis Keselamatan Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Shukri Nawi, veteran ATM dan PDRM serta ahli PSBM.

Sebanyak 27 penerima diraikan pada majlis berkenaan terdiri daripada tiga veteran ATM, empat veteran PDRM F-Team serta 20 ahli kehormat PSBM dari dalam dan luar negara.

Ad Banner
Ad Banner

Mereka menerima sumbangan khas berupa plak dan hamper sebagai tanda penghargaan, selain bantuan bagi menggerakkan aktiviti kebajikan pertubuhan itu.

Ramle berkata PSBM sebelum ini turut menyalurkan bantuan kepada veteran VAT 69 Komando serta pesara tentera dan polis yang memerlukan sokongan kebajikan.

Beliau berkata PSBM yang ditubuhkan pada 12 Mac 2021 ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19 pada awalnya berperanan menyalurkan bantuan kemanusiaan sebelum diperluas kepada pelbagai aktiviti kebajikan, dengan lebih 500 program telah dijalankan setakat ini termasuk bantuan kepada golongan gelandangan, anak yatim dan mangsa bencana alam.

Menurut Ramle, antara pencapaian membanggakan pertubuhan itu ialah kejayaan mencatat nama dalam Malaysia Book of Records atas dedikasi menyantuni gelandangan di Chow Kit selama 21 hari berturut-turut pada Ramadan 2021.

PSBM kini katanya mempunyai lebih 700 peserta dari Malaysia, Indonesia serta Thailand bagi memperluas jaringan kerjasama serta pelaksanaan aktiviti kebajikan di rantau ini.

“Oleh itu, kita sangat mengalu-alukan penyertaan daripada golongan muda untuk sama-sama teruskan usaha ini. Selain aktiviti kebajikan, kita juga ada menjalankan pelbagai program seperti aktiviti kebudayaan, jual beli dan beberapa latihan kenegaraan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan