AM > BERITA

Pemimpin Asing Ucap Selamat Hari Jadi Kepada PM Anwar Sempena Hari Lahir Ke-77

11/08/2024 01:21 AM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Pemimpin asing menyampaikan ucapan hari jadi kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-77 dengan mesej muhibah dan sokongan.

Antara yang mengucapkan selamat maju jaya ialah rakan sejawatannya dari Singapura, Lawrence Wong yang menyampaikan salam mesra dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Anwar pada hari istimewa ini.

Dalam video yang dimuat naik di laman Malaysia MADANI di platform X (@MalaysiaMadani), Wong berharap dapat mengukuhkan persahabatan mereka pada tahun-tahun akan datang.

"Selamat hari lahir Perdana Menteri Anwar. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan pada hari istimewa ini.

"Banyak yang boleh kita lakukan bersama sebagai jiran dan sahabat baik. Jadi, saya doakan anda banyak kurniaan di hari istimewa ini. Nikmatilah hari bahagia ini bersama keluarga, sahabat dan orang yang tersayang. Selamat Hari Jadi,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. juga menghantar ucapan hari jadi kepada Anwar melalui pesanan video yang dimuat naik di laman Malaysia MADANI di X.

Merujuk kepada Anwar sebagai seorang sahabat yang telah dikenalinya sebelum mereka memegang peranan sebagai pemimpin ASEAN, Marcos menyatakan kegembiraannya dapat memberikan ucapan sempena hari istimewa Anwar.

“Persahabatan kita telah membantu menjadikan cabaran kepemimpinan lebih terasa ringan. Kadang-kadang saya berani katakan, malah menyeronokkan. Bagi saya, anda lebih daripada sekadar jiran di ASEAN, anda adalah sahabat yang dipercayai, yang saya kongsikan banyak kenangan indah.

“Pada tahap ini dalam hidup kita, kita telah diberi tanggungjawab untuk memimpin negara masing-masing dan memainkan peranan penting di rantau ini dan di komuniti antarabangsa yang lebih luas. Dedikasi anda yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia dan visi bersama kita untuk rantau ini telah menjadi sumber inspirasi.

“Bersama-sama, kita telah menangani pelbagai cabaran dan meraikan beberapa kejayaan. Banyak yang telah dilakukan, namun masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Saya gembira memiliki seorang sahabat bersama saya ketika kita mengharungi ketidaktentuan yang akan datang,” katanya.

Marcos menambah bahawa beliau bersyukur atas peluang untuk berkongsi idea dan belajar daripada pengalaman masing-masing selama ini.

“Ketika kita terus mengemudi, negara kita dan rantau ini, ke arah masa depan, keamanan dan kemakmuran untuk rakyat kita.

“Kebijaksanaan, kebaikan dan kekuatan anda tidak ternilai bagi saya dan saya menantikan lebih banyak tahun persahabatan dan kerjasama.

“Saya mengucapkan selamat hari lahir kepada anda, Tuan Perdana Menteri. Semoga tahun ini memberikan anda kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kejayaan yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta juga menghantar pesanan video, mendoakan Anwar terus sihat untuk menyokong kepemimpinannya terhadap negara.

“Hari ini adalah hari jadi anda dan saya mengucapkan selamat hari lahir. Semoga Tuhan Yang Maha Esa sentiasa merahmati anda dengan kesihatan dan kebijaksanaan yang melimpah ruah agar anda dapat terus memimpin rakyat Malaysia dalam keamanan, kemakmuran sehingga anda dapat terus menyumbang untuk keamanan dan kemakmuran di rantau kita, Asia Tenggara dan seterusnya. Terima kasih, sahabatku yang dikasihi,” katanya dalam video itu.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut memuat naik video selama 2 minit 49 saat yang mengandungi ucapan hari jadi daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri Kabinet.

Rakyat Malaysia juga menyampaikan ucapan hari jadi kepada Perdana Menteri dalam video berdurasi satu minit 38 saat, memanjatkan doa untuk kesihatan, kekuatan dan daya tahan Anwar yang berterusan untuk memimpin negara menuju masa depan yang lebih makmur dan maju.

Anwar menyambut ulang tahun ke-77 pada Sabtu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan