AM > BERITA

Bank Buku Perpustakaan Awam Negeri Terima Sumbangan Orang Ramai

11/08/2024 05:50 PM

ALOR SETAR, 11 Ogos (Bernama) -- Orang ramai digalakkan menyumbang buku-buku bersesuaian melalui bank buku di setiap Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri untuk diagihkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy berkata usaha itu merupakan antara inisiatif meningkatkan bahan bacaan di SJKT, sekali gus menyuburkan budaya membaca dalam kalangan pelajar sekolah tersebut.

"Penubuhan bank buku di seluruh negara sejak lebih kurang sebulan lepas membolehkan orang ramai menderma buku-buku yang tidak digunakan dan berada dalam keadaan yang masih boleh digunakan, daripada terbiar sahaja di almari buku anda.

"Saya menyeru kepada semua pihak agar perkara ini diwar-warkan dengan meluas dan sumbangan buku boleh disalurkan terus kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri di setiap negeri," katanya pada Program Dariku Untukmu dan Majlis Sumbangan Buku Kepada 16 SJKT di Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu akan dilaksanakan bukan sahaja sehingga hujung Ogos ini malah akan berterusan sebelum buku-buku yang diterima diagihkan kepada SJKT yang akan dikenal pasti.

Menurutnya program pertama agihan buku di Lembah Kelang telah dilaksanakan pada 17 Julai lepas membabitkan lapan SJKT dari Selangor dan tiga dari Kuala Lumpur.

Saraswathy berkata bagi program di Kedah hari ini, sebanyak 3,200 naskhah buku telah diagihkan meliputi pelbagai bidang seperti fiksyen kanak-kanak dan dewasa, pendidikan, bahasa dan sastera, bacaan ringan, motivasi dan nilai-nilai murni.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan