AM > BERITA

Persiapan Sambutan Hari Malaysia Di Sabah Berjalan Lancar - Fahmi

12/08/2024 04:30 PM

KOTA KINABALU, 12 Ogos (Bernama) -- Persiapan sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung pada 16 Sept ini di Padang Merdeka di sini berjalan dengan lancar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Sabah akan menjadi tuan rumah acara itu yang akan bermula pada 8 malam, yang akan dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan kebudayaan, lagu-lagu tradisi dan kontemporari selain pameran bagi mengimbau sejarah pembentukan Malaysia serta aspek-aspek penting berkaitan negara.

"Ada beberapa perkara bersifat protokol yang memang akan kita saksikan setiap hari sambutan (16 Sept), tetapi pada masa yang sama ada tambahan (persembahan) kebiasaannya dari segi persembahan kebudayaan.

"Itu yang akan menjadi kelainan dari satu sambutan ke satu sambutan yang lain. Oleh itu saya menyeru warga Sabah untuk datang beramai-ramai dan raikan Hari Malaysia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Fahmi dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini.

Fahmi berkata antara tetamu jemputan yang dijangka hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri besar dan perwakilan asing.

Liew pula berkata di peringkat negeri Sabah, beberapa mesyuarat penyelarasan telah diadakan seperti peringkat jawatankuasa induk yang dipengerusikan sendiri serta jawatankuasa kerja, khusus bagi memastikan pelaksanaan sambutan tahun ini berjalan dengan lancar dan cekap.

Beliau berharap jawatankuasa itu dapat berbincang dan bekerjasama untuk memastikan kejayaan pelaksanaan dan persiapan sambutan Hari Malaysia 2024.

“Dengan kerjasama, sokongan dan komitmen yang diberikan oleh semua, saya yakin sambutan Hari Malaysia tahun ini akan berjalan lancar, meriah dan berjaya,” kata Liew.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan