AM > BERITA

13 permintaan penduduk Kampung Limau Kasturi, Nenggiri sedang dihalusi - Ahmad Zahid

12/08/2024 07:31 PM

GUA MUSANG, 12 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 13 permintaan untuk menaik taraf pembangunan Kampung Limau Kasturi di sini, sedang dihalusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesemua permintaan itu yang dimohon penduduk kampung berkenaan sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diumumkan lagi, perlu melalui proses penelitian terlebih dahulu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara permohonan mereka ialah pembinaan sekolah menengah kebangsaan agama, pemasangan lampu solar dan menara telekomunikasi serta membaik pulih rangkaian jalan di kawasan Nenggiri.

“Selain itu, mereka juga mohon menaik taraf dewan serbaguna dan pendawaian elektrik di gelanggang futsal RKT Limau Kasturi,” katanya ketika berucap pada Program Temu Mata bersama masyarakat Kampung Limau Kasturi di Pusat Kor Limau Kasturi di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Pengarah PRK BN bagi DUN Nenggiri Mohd Syahbuddin Hashim.

Penduduk di kampung itu merupakan antara 20,259 pengundi berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab pada PRK DUN Nenggiri, Sabtu ini.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail bagi Perikatan Nasional (PN).

DUN berkenaan telah dipertandingkan bermula 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya, menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN dan kali terakhir dimenangi Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu, namun keahliannya dalam parti itu telah digugurkan pada 13 Jun lepas yang menyebabkan PRK itu diadakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata parti berkenaan perlu menebus kembali maruah dengan menawan semula kubu kuat UMNO itu pada PRK ini.

“Ya, kerana dulu kita kalah 810 undi (pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas), jadi saya minta jentera parti untuk berusaha cukup keras supaya kita tebus kembali 810 undi berkenaan pada PRK kali ini.

“Abe (Ahmad Zahid) akan tolong Awie (Mohd Azmawi Fikri) untuk bawa kemajuan di Nenggiri kerana hanya Awie yang boleh bawa kemajuan pembangunan di kawasan itu,” katanya.

Pengerusi BN itu berkata permintaan Awie untuk mewujudkan institusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di Gua Musang juga telah dibincangkan bersama Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Ya, Pengerusi MARA (Asyraf Wajdi) berkata di Gua Musang juga perlu ada GIAT MARA … insya-Allah, semua perkara ini akan kita laksanakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan