AM > BERITA

Tiada Prosedur Kerja Selamat Punca Mekanik Maut Dihempap Mesin - JKKP Kelantan

27/01/2025 11:56 PM

KOTA BHARU, 27 Jan (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kelantan mendapati ketiadaan prosedur kerja selamat dipercayai menjadi punca seorang pembantu mekanik maut di sebuah kuari di Mukim Jerus, Selising, pada Jumaat lepas.

Pengarahnya Abdul Aziz Salim berkata sepasukan penyiasat JKKP yang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mendapati tiada prosedur kerja selamat diwujudkan berkaitan kerja-kerja merombak mesin penghancur batu.

Beliau berkata JKKP Kelantan telah mengeluarkan satu notis larangan bagi aktiviti kerja merombak kepada pihak pengurusan syarikat kuari itu.

"Pihak pengurusan dan pekerja syarikat terlibat telah dipanggil memberi keterangan lanjut bagi melengkapkan siasatan.

"Tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati wujud pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata pihaknya memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja dan menasihati majikan supaya lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan semasa menjalankan aktiviti kerja. 

Sebelum ini, media melaporkan seorang pembantu mekanik meninggal dunia selepas dihempap pemberat getah mesin penghantar atau conveyor semasa bekerja di sebuah kuari di Mukim Jerus, Selising pada Jumaat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan