AM > BERITA

JMM Usul Wujudkan Muzium Pengangkutan Nasional

13/08/2024 02:39 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

SEPANG, 13 Ogos (Bernama) -- Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai muzium pengangkutan nasional yang memaparkan segala jenis kenderaan yang digunakan sejak protosejarah sehingga kini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Mohamad Shawali Badi.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, beliau berkata aspek pengangkutan dan evolusi penggunaan kenderaan dalam negara merupakan satu daripada konsep penghayatan sejarah selain taat kepada raja dan negara, Jalur Gemilang, bangunan warisan dan nilai sejarah lain.

“Kita (JMM) ada koleksi perahu sagor dari zaman protosejarah sehinggalah kepada kenderaan yang ada sekarang. (Sebab itu) kita rasa perlu ada muzium pengangkutan negara yang boleh merangkumi semua kenderaan sebab konteks kenderaan ini tidak terkecuali daripada elemen sejarah.

“Jadi kita cuba meletakkan semua dalam satu muzium memandangkan pengangkutan juga ada konsep perpaduan. Contohnya, ia menunjukkan betapa evolusi itu berlaku dalam masyarakat. Bila orang tengok sesebuah kereta tempatan, ia sebenarnya bukan hanya dihasilkan oleh seorang jurutera Melayu semata-mata, malah pasti melibatkan bangsa Cina dan India, itu yang hendak diterapkan menerusi muzium pengangkutan,” katanya.

Untuk rekod, perahu sagor merupakan kenderaan air yang digunakan oleh orang terdahulu untuk berdagang, terutamanya masyarakat Melayu Kedah pada abad ke-19.

Pada masa ini, hanya terdapat Muzium Automobil Nasional (MAN) di Litar Antarabangsa Petronas Sepang yang berkonsepkan automotif namun mengenai kenderaan beroda empat sahaja, yang disifatkan Mohamad Shawali sebagai ‘tidak cukup’ untuk mengetengahkan kesalinghubungan evolusi kenderaan dengan penglibatan masyarakat berbilang bangsa dalam memajukan bidang pengangkutan negara.

“Pewujudan satu muzium pengangkutan merupakan antara harapan (wish list) JMM dan kita akan bermula dengan rangka kerja yang akan menjelaskan justifikasi kenapa Malaysia memerlukannya dan naratif berkaitan yang menyemarakkan perpaduan sesama masyarakat, lebih-lebih lagi Rancangan Malaysia ke-13 akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata biarpun JMM akur dengan kekangan lokasi dan ruangan untuk merealisasikan hasrat itu, sudah ada pihak yang mengutarakan minat untuk menyumbang ke arah pembangunan muzium berkenaan. 

“Sebelum ini pihak MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) ada sebut mereka ada koc aerotrain yang lama untuk disumbangkan, kita boleh rujuk semula kepada mereka kalau niat itu masih ada, dan kita juga boleh minta daripada Proton untuk sumbangan model lama,” katanya menambah muzium sebegitu turut terdapat di Jerman dan Prague, Republik Czech.

Sementara itu, Ketua Muzium Automobil Nasional Safia Ismail berkata MAN merupakan satu daripada 22 muzium di bawah pengurusan JMM yang mempamerkan sejarah perkembangan automotif di negara ini dan hasil pencapaian anak tempatan dalam pembuatan kenderaan bermotor buatan Malaysia.

Beliau berkata sebanyak 22 koleksi kenderaan bermotor daripada kategori klasik, vintaj dan keluaran edisi pertama pembuatannya turut menjadi tatapan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita mahu orang ramai tahu ada muzium automobil ini, sebab selama ini orang tak terfikir yang ada muzium sebegini lebih-lebih lokasinya di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, sesuai dengan industri permotoran,” katanya.

Menurutnya, MAN juga menjadi sumber rujukan luar terutamanya dalam bidang permotoran dan terkini pihak Fuji Motorsports Museum, Jepun turut melahirkan hasrat untuk berkolaborasi dengan MAN bagi World Forum for Motor Museums yang dijadual berlangsung pada hujung Oktober ini di negara itu.

Dibuka pada 2004, MAN bertujuan memberi maklumat mengenai sejarah perkembangan sistem pengangkutan negara dan pencapaian industri permotoran di Malaysia.

Antara koleksi yang dipamerkan termasuk kereta yang pernah digunakan di sini termasuk kereta Brushmobile keluaran tahun 1904, Ford Speedster tahun 1923 dan Alvis Tourer 1935.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan