AM > BERITA

Hasil Lawatan Kerja Johari Dibawa Ke Persidangan Speaker Parlimen Dan DUN Bulan Depan

13/08/2024 06:28 PM

KUANTAN, 13 Ogos (Bernama) -- Hasil dapatan lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula sejak bulan lepas akan dibawa ke Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 pada September ini.

Johari berkata lawatan kerja itu yang pertama kali dianjurkan adalah bertujuan untuk berkongsi pertukaran ilmu dan pengalaman dalam kalangan Yang Dipertua Dewan dalam memartabatkan serta memperkasakan institusi Speaker.

“Ini (Pahang) merupakan negeri kesembilan. Jadi, sudah tentu perjalanan satu dewan ke satu dewan yang lain itu mungkin ada perbezaannya dan kelebihannya, di sinilah peluang untuk kita berkongsi pengalaman. 

“Mungkin juga ada benda baharu yang boleh kita kongsi bersama. Saya sendiri secara peribadi telah belajar banyak daripada apa yang terjadi di negeri-negeri. Di sinilah betapa pentingnya lawatan ini yang boleh kita cadangkan apabila kita bersidang nanti," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata pada Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024 yang akan berlangsung 11 hingga 14 Sept ini, pihaknya akan membentangkan hasil dapatan sekali gus memperbaiki setiap DUN untuk memastikan rakyat mendapat manfaat daripada persidangan itu.

"Insya-Allah, akhir persidangan (Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN Se-Malaysia 2024), kita sediakan resolusi. Resolusi ini akan menjadi panduan kita untuk dibawa ke negeri bagi kita cadangkan kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakannya sebaik mungkin,” katanya. 

Johari berkata antara perbincangan yang disentuh semasa lawatan kerja itu adalah penggunaan sistem digital yang dilihat penting dalam mentransformasikan perjalanan persidangan Dewan Rakyat dan DUN, misalnya menguruskan aturan dewan khususnya berkaitan soalan daripada wakil rakyat mampu memudahkan persidangan serta menjimatkan kos.

“Saya pernah menjadi wakil rakyat di Kedah dan apa yang diperkenalkan di negeri ini, soalan-soalan akan dimasukkan secara terus ke dalam sistem, jadi ia lebih cepat. Idea daripada Kedah itu saya bawa dan sepadankan dengan urusan di Parlimen.

“Di Pahang, saya dimaklumkan ada satu aplikasi yang digunakan untuk mentranskripsikan hansard di Parlimen, tidak perlu taip balik (jimatkan masa),” katanya. 

Beliau berkata selepas Pahang, lawatan kerja itu akan diteruskan ke Selangor, Sarawak dan berakhir di Sabah. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan