AM > BERITA

53 Waris Terima Manfaat TH Khairat Berjumlah RM636,000

14/08/2024 02:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Pelan perlindungan mampu milik TH Khairat yang ditawarkan Lembaga Tabung Haji (TH) berjaya membantu 53 waris dengan pembayaran tuntutan sebanyak RM636,000. 

Pelan yang dilancarkan pada 31 Julai 2023 itu terbuka kepada para pendeposit TH, menawarkan perlindungan kematian atau hilang upaya kekal sebanyak RM12,000 dengan bayaran serendah RM28 setahun.

Sehingga hari ini, lebih 302,000 pendaftaran bagi TH Khairat direkodkan pengendali Takaful yang dilantik iaitu Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berharap bayaran tuntutan TH Khairat yang diterima penerima manfaat dapat membantu mereka menghadapi tempoh sukar.

“Serahan tuntutan TH Khairat daripada pengendali Takaful kepada TH dalam majlis ini juga sebagai simbolik yang mencerminkan komitmen TH bersama Takaful Malaysia dan HLM Takaful untuk memastikan setiap tuntutan yang layak diproses dengan cepat supaya dapat disalurkan kepada waris atau penerima manfaat dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena Majlis Simbolik Serahan Tuntutan TH Khairat yang diadakan di Menara TH Tun Razak semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Nor Azman Zainal berkata kerjasama kumpulan berkenaan bersama TH dalam menawarkan TH Khairat menandakan komitmen untuk menyediakan perlindungan Takaful mampu milik khusus bagi memenuhi keperluan para pendeposit TH. 

“Kami komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan TH Khairat dengan memastikan urusan tuntutan perlindungan takaful ini berjalan lancar bagi membantu penerima manfaat atau waris menguruskan keperluan kewangan dan kelangsungan hidup melalui pampasan yang diperoleh,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif HLM Takaful Mohd Asri Omar pula menzahirkan kesyukuran atas sambutan memberangsangkan daripada lebih 100,000 pendeposit TH yang dikendalikan mereka dalam tahun pertama produk itu dilancarkan.

“Penyelesaian pantas tuntutan membantu beberapa keluarga peserta TH Khairat setakat ini serta komitmen tinggi TH untuk meningkatkan publisiti semestinya akan memacu pencapaian lebih tinggi dalam tahun ini dan seterusnya.

“Kami di HLM Takaful sangat teruja untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya yang belum mempunyai perlindungan Takaful memilih TH Khairat sebagai pelan perlindungan asas mereka,” katanya. 

Dalam kenyataan itu, TH mengalu-alukan pendepositnya melanggan TH Khairat ini demi manfaat orang tersayang dengan bayaran rendah dan mampu dimiliki setiap lapisan masyarakat.

TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan di laman sesawang www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan