AM > BERITA

MARDI Perkenal Dua Varieti Padi Wangi Baharu

14/08/2024 04:57 PM

PASIR SALAK, 14 Ogos (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini memperkenalkan dua varieti baharu padi wangi selaras peningkatan permintaan terhadap beras wangi berkualiti serta mempunyai nilai kesihatan yang tinggi untuk rakyat di negara ini.

Pengerusi MARDI Dr Azman Ismail berkata  dua varieti padi wangi baharu itu ialah MRQ 107 dan MRQ 111  yang dijangka dapat memberi manfaat kepada petani dan pengguna beras istimewa tempatan sekali gus memperkukuhkan industri padi dan beras negara.

Beliau berkata MARDI telah melaksanakan kajian ke atas kedua-dua varieti padi berkenaan sejak 2010 yang mempunyai kualiti seperti aroma, warna, nutrisi dan ciri beras memberi nilai tambah kepada varieti itu sendiri. 

"Kedua-dua varieti padi ini mampu mencapai hasil tuaian melebihi lima metrik tan per hektar dengan pengurusan yang baik dan MRQ 107 boleh dituai dalam tempoh antara 112 hingga 115 hari lepas tabur, manakala MRQ 111 pula dapat dituai dalam tempoh 116 hingga 118 hari lepas tabur.

"Selain itu, kedua-dua varieti ini mempunyai tahap kerintangan baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta sesuai untuk dijadikan beras rebus yang sangat sesuai disasarkan kepada pengguna mementingkan nilai pemakanan sihat," katanya berucap pada majlis pengisytiharan varieti padi wangi baharu MARDI di sini hari ini. 

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang. 

Sementara itu, Azman berkata varieti padi baharu ini diharap dapat memberi manfaat terutamanya kepada pesawah dan pengguna beras istimewa tempatan di samping menarik minat lebih ramai pihak untuk melibatkan diri dalam pasaran beras itu sekali gus memperkukuhkan industri padi dan beras negara. 

Dalam sidang media kemudiannya, Rubiah berkata sebelum ini FELCRA Seberang Perak ditugaskan oleh MARDI untuk mengeluarkan benih padi kedua-dua varieti itu dengan hasilnya telah dituai membabitkan sawah padi berkeluasan 2.4 hektar.

"Selepas ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus dari keluasan 3,400 hektar sawah di FELCRA Seberang Perak akan ditanam dengan dua varieti padi baharu ini di samping FGV turut menyatakan komitmen untuk memulakan penanaman MRQ 111 secara komersial.

"Kita mendapati dengan adanya varieti padi ini, kita dapat mempelbagaikan sumber beras dan apa yang paling penting, kita dapat membantu  mengurangkan import beras wangi," katanya.

Terdahulu, Rubiah dalam ucapan perasmiannya berkata pengisytiharan varieti padi wangi baharu sebagai beras istimewa merupakan satu daripada strategi digariskan di dalam Dasar Agro Makanan (DAN 2.0) di bawah sub-sektor padi yang mampu memanfaatkan potensi varleti beras istimewa tempatan.

"Kewujudan dan kepelbagaian beras istimewa tempatan setanding dengan kualiti beras import dapat membantu kerajaan dalam mengurangkan kadar import beras istimewa iaitu sekitar 25 peratus," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan