AM > BERITA

Persiapan Program MADANI Zon Selatan lebih 90 peratus

14/08/2024 08:59 PM

JOHOR BAHRU, 14 Ogos (Bernama) -- Persiapan bagi Program MADANI Rakyat Zon Selatan 2024 yang akan berlangsung di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini bermula esok giat dilakukan dan berada di peringkat akhir dengan tahap persiapan mencapai lebih 95 peratus.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Ekonomi Dr Nor Azlina Ariffin berkata persiapan hanya tinggal kerja-kerja akhir di beberapa lokasi tumpuan seperti pentas utama, reruai kementerian dan tapak jualan.

“Persiapan giat dilakukan bagi memastikan kelancaran program tiga hari itu bermula esok. Setakat 7 malam ini persiapan telah capai 95 peratus. 

“Selain pavilion, reruai kementerian dan agensi, kita juga ada aktiviti lain termasuk di pentas utama dengan 50 aktiviti menarik telah kita susun atur untuk pengunjung esok,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Tinjauan Bernama juga mendapati petugas kementerian dan agensi sibuk membuat ‘sentuhan akhir’ menyiapkan 34 reruai kementerian dan agensi untuk pameran sepanjang program itu. 

Ada juga yang kelihatan membawa masuk bahan pameran, menyusun kerusi, memasang gegantung selain membuat semburan berkabus bagi membasmi nyamuk Aedes. 

Nor Azlina berkata Program MADANI Rakyat Zon Selatan merupakan pentas terbaik bagi rakyat menilai dan melihat sendiri prestasi serta pencapaian Ekonomi MADANI sejak setahun ia dilancarkan pada Julai tahun lepas.

Beliau berkata selain penukaran topi keledar dan diskaun saman trafik 50 peratus, orang ramai juga boleh menyertai aktiviti santai seperti larian sejauh lima kilometer, senamrobik dan berpeluang mendapatkan anak pokok. 

Mereka juga boleh membuat pendaftaran MyDigital ID, manakala bagi yang mencari peluang pekerjaan sebanyak 2,125 kekosongan daripada pelbagai syarikat ditawarkan pada program berkenaan. 

Sehubungan itu, orang ramai dijemput bersama-sama hadir memeriahkan program yang diadakan hingga 10 malam, manakala pada 17 Ogos (Sabtu) bermula 9 pagi hingga 6 petang.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi selaku kementerian peneraju dan kerajaan Johor.

Program itu akan menumpukan kepada pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri sejak setahun dilancarkan. 

-- BERNAMA  

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan