AM > BERITA

Reda Dengan Pemergian Anak Walaupun Bukan Pengakhiran Diharapkan - Ayah Nidza Afham

15/08/2024 12:19 AM

KLANG, 14 Ogos (Bernama) -- Ayah kepada penyanyi dan Youtubers Muhammad Nidza Afham Mokhtar reda dengan pemergian anak lelakinya walaupun itu bukan pengakhiran yang beliau harapkan.

Mokhtar Mahmud, 57, berkata saat melaungkan azan di Jambatan Kota di Klang petang tadi hatinya masih kuat menginginkan anaknya itu pulang ke rumah dengan selamat.

“Masa azan petang tadi saya harap Am (nama panggilan Muhammad Nidza Afham) dijumpai (dengan selamat), namun saya reda dengan pemergian beliau.

“Itu memang Am (ketika diminta membuat pengecaman), anak lelaki saya," kata guru Sekolah Kebangsaan TTDI Jaya di Shah Alam itu.

Mokhtar berkata beliau bergegas ke lokasi penemuan mayat anaknya itu selepas menerima panggilan daripada ahli keluarga pada 7.30 petang tadi.

“Tiba di lokasi, ahli keluarga mengesahkan bahawa jasad itu adalah anak saya berdasarkan wajah dan baju yang dipakainya," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di lokasi mayat ditemukan iaitu berdekatan Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah di sini.

Mokhtar memaklumkan kali terakhir beliau berjumpa dengan anak kelima daripada tujuh beradik itu ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anak lelakinya bulan lepas.

"Petang semalam, Am ada menghubungi saya untuk memberi sejumlah wang saku. Saya masih terkejut dengan kejadian ini, namun reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Mokhtar berkata beliau menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan lanjut dan jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Puncak Alam, Kuala Selangor.

Sebelum ini, Muhammad Nidza Afham dikatakan keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri sebelum kehilangannya disedari pada 9 malam semalam.

Adiknya Afrina Hanie mendakwa kehilangan abangnya berkaitan dengan kes samun susulan kad debit dan wang tunainya hilang manakala kad pengenalan, kad pelajar dan gambar disimpan dalam dompet tidak terusik ketika ditemui di atas Jambatan Sungai Klang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan