AM > BERITA

Ibu Menteri Besar Kedah Meninggal Dunia

15/08/2024 12:17 PM

ALOR SETAR, 15 Ogos (Bernama) -- Ibu kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah Muhamad Mat Yakim melalui pesanan WhatsApp kepada pemberita.

“Al-Fatihah. Bonda Menteri Besar Kedah, Meriam Ahmad, telah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9.40 pagi di HSB,” katanya.

Solat jenazah dan pengebumian dijangka diadakan di Sik, petang ini.

Sebelum ini media melaporkan Allahyarham menerima rawatan di ICU HSB sejak Isnin.

Allahyarham yang berusia 74 tahun dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya di Sik, dan ditidurkan sejak Isnin,

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut berkongsi berita itu menerusi hantaran di akaun Facebooknya.

“Saya ingin merakam ucapan takziah kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi atas pemergian bonda yang amat disayangi. Tidak tergambar kesedihan dan keperitan jiwa apabila kita kehilangan bonda yang menjadi ratu dalam hidup.  

“Didoakan agar Datuk Seri Muhammad Sanusi tabah, sabar dan cekal. Marilah kita berdoa agar Almarhumah Hajjah Meriam Ahmad diampuni, dirahmati, dikasihi dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin Ya Rabbal A'lamin,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan